Ipoh, 10 December 2025 - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) hari ini menegaskan kedudukan Perak sebagai destinasi pelaburan hijau yang semakin berkembang melalui penganjuran Green Tech Perak 2025 Forum bertemakan “ESG for Industrial Advantage”. Forum ini menghimpunkan pemimpin industri, institusi kewangan, pemain teknologi hijau dan pembuat dasar bagi merangka hala tuju pelaburan mampan dalam bidang Renewable Energy, Green Financing dan Smart Infrastructure, yang merupakan sektor pertumbuhan utama negeri.
Forum ini merupakan kemuncak dan penutup rasmi kepada program Green Tech Perak 2025 yang memfokuskan pembangunan tenaga bersih, inovasi hijau dan ekonomi kitaran. Menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik serta pembuat dasar, penganjuran ini menandakan peralihan tumpuan negeri daripada aktiviti pendidikan dan kesedaran awam kepada kerjasama strategik bersama pemain industri, selaras dengan aspirasi memperkukuh ekosistem teknologi hijau Perak.
Perbincangan panel yang diadakan merangkumi tiga teras utama pembangunan hijau: dasar dan tenaga bersih yang memacu peralihan hijau; peranan inovasi digital serta teknologi pintar dalam kelestarian bandar; serta instrumen pembiayaan seperti pelaburan ESG dan kewangan hijau yang menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.
Penganjuran ini turut melengkapkan rangkaian program Green Tech Perak yang telah berlangsung sejak Oktober, melibatkan pelbagai segmen masyarakat melalui inisiatif seperti Acara Menanam Pokok Hutan Hujan, Pameran Sains Perak untuk Belia, serta Bengkel GENIUS LAB yang memperkenalkan kecerdasan buatan, literasi digital dan penyelesaian hijau kepada pelajar dan komuniti. Program ini telah membina asas kesedaran, pendidikan dan pembudayaan nilai kelestarian sebelum fokus beralih kepada penyertaan industri.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, dalam ucapan pembukaannya menekankan bahawa Green Tech Perak 2025 dibina berasaskan lima teras strategik iaitu kesedaran dan pendidikan, penglibatan komuniti, kepimpinan negeri dalam ESG, pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik yang direka untuk memperkukuh daya saing Perak serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap masa depan ekonomi negeri. Menurut beliau:
“Green Tech Perak 2025 bukan sekadar satu program. Ia adalah usaha menyeluruh untuk menjadikan Perak sebuah ekonomi berprestasi tinggi yang dipacu kelestarian. Kita mahu meletakkan Perak sebagai sebuah negeri yang bersedia menerima pelaburan berkualiti, membina industri yang tahan lasak, dan mencipta nilai jangka panjang untuk rakyat. Perak sudah bersedia. Industri kita sudah diperkasakan dan kami mengalu-alukan pelabur, inovator serta rakan strategik untuk turut maju bersama Perak.”
Beliau turut menekankan bahawa projek berimpak tinggi seperti Silver Valley Technology Park (SVTP) dan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) sedang dibangunkan berteraskan prinsip ESG bagi menyokong pembangunan tenaga boleh baharu, pembuatan hijau, perkhidmatan maritim dan ekonomi kitaran. Inisiatif lain seperti Projek Skim Bekalan Air Negeri Perak (NPWSS) kerjasama strategik antara PKNPk dan Gamuda, Hydro Life Extension Programme (HLEP), integrasi Hydro Hybrid Floating Solar (HHFS) serta projek pemasangan lampu dan bumbung solar turut mengaplikasikan pendekatan yang sama dalam mengarusperdanakan amalan hijau yang mampan dalam industri.
Keseluruhan usaha ini menjadi asas kukuh kepada pelaksanaan Perak Sejahtera 2030, yang menterjemahkan dasar kepada tindakan nyata, sekali gus memperkukuh Green Tech Perak 2025 dalam memperluas kesedaran serta menonjolkan pencapaian negeri dalam pembangunan lestari berasaskan inovasi.
Forum ini menarik penyertaan lebih 150 delegasi profesional dari seluruh negara termasuk institusi kewangan utama, syarikat teknologi hijau, kementerian dan agensi kerajaan. Ruang pameran yang melibatkan 18 pempamer teknologi turut menampilkan perkembangan terkini dalam sistem tenaga boleh baharu, inovasi digital rendah karbon dan penyelesaian pematuhan ESG yang memperlihatkan kedudukan Perak sebagai pusat inovasi hijau yang semakin pesat membangun.
Kerajaan Negeri Perak melalui YB Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak, dalam ucapan penutup menegaskan bahawa transformasi hijau merupakan strategi ekonomi utama negeri, bukan agenda sampingan. Beliau menyatakan:
“Apa yang kita saksikan hari ini bukan sekadar forum, ia adalah bukti bahawa Perak berada pada landasan yang tepat untuk menjadi negeri yang membangun secara bertanggungjawab. Kelestarian bukan lagi pilihan; ia adalah keperluan untuk memastikan daya saing pelaburan, daya tahan operasi dan relevansi ekonomi jangka panjang. Kerajaan Negeri komited memperkukuh dasar, merancakkan penggunaan teknologi hijau dan memastikan setiap pembangunan bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.”
Penganjuran ini menegaskan kedudukan PKNPk sebagai peneraju pembangunan tenaga bersih dan inovasi teknologi, sekali gus memperkukuh usaha menjadikan Perak sebagai negeri contoh dalam agenda pertumbuhan hijau menuju aspirasi Perak Sejahtera 2030.

