Ipoh, 13 January 2025 - Mengambil ilham nama sempena pantulan jernih tasik yang menyerupai cermin, Tasik Cermin yang turut dikenali sebagai salah satu "Ipoh Hidden Gems" menerima pengiktirafan sebagai Anugerah Destinasi Pelancongan Mesra Muslim oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan "The Best Accessible Tourism Initiative Award" sempena Anugerah Pelancongan Perak 2024 baru – baru ini di Hotel Casuarina@MERU. Anugerah ini turut memberi impak kepada industri pelancongan mesra muslim di Malaysia selari dengan pencapaian Malaysia yang kekal mengungguli senarai 'Destinasi Mesra Muslim Terbaik' dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 dan penganugerahan Malaysia sebagai 'Destinasi Mesra Muslim Terbaik' Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut.
Kejayaan ini menunjukkan kesungguhan Majuperak Holdings Berhad (MHB) bersama rakan strategik, STG World Sdn Bhd (STG) dalam menjadikan Perak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang inklusif dan mesra kepada pelancong dari pelbagai latar belakang agama, bangsa, dan warganegara.

Datuk Redza Rafiq Bin Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk merangkap Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad (MHB), berkata, "Transformasi Tasik Cermin daripada bekas kuari kepada ikon pelancongan merupakan simbol dedikasi kami terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan pembangunan ekonomi Perak. Kami berbangga untuk membawa pengalaman unik ini kepada dunia. Bayangkan, hanya 2 jam perjalanan dari ibu negara Malaysia, rakyat Malaysia kini dapat menikmati keindahan warisan geologi di Lembah Kinta yang bukan sahaja mempunyai nilai estetik yang tinggi, tetapi juga mempunyai nilai sejarah. Suatu masa dahulu, inilah antara penyumbang utama ekonomi negara dalam perlombongan dan industri timah dan kini ianya telah dibangunkan sebagai pusat pelancongan yang turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan Malaysia secara keseluruhannya. Ini merupakan suatu inisiatif yang membanggakan buat MHB dan STG kerana telah berjaya memulihara warisan geologi ini sehingga berjaya meraih pengiktirafan dalam anugerah berprestij".
"Destinasi geo pelancongan Tasik Cermin ini mempunyai tiga tarikan gua utama iaitu Tasik Cermin 1, Tasik Cermin 2 dan Gua Mulut Ular. Sejak ianya beroperasi pada tahun 2022, pihak kami bersama STG memastikan akses dan kemudahan yang selesa kepada pengunjung dengan menyediakan laluan jalan masuk berturap, parkir yang mencukupi, tandas, surau dan menambah baik fasiliti dan perkhidmatan dari masa ke semasa. Pihak operator juga turut memastikan persekitaran dijaga memandangkan lokasi ini berusia sekitar 250 juta hingga 480 juta tahun yang diwartakan sebagai antara destinasi dalam Geopark Lembah Kinta. Kejayaan Tasik Cermin merupakan pengiktirafan di atas usaha MHB dalam mengetengahkan kecemerlangan dan merancakkan industri pelancongan. Malahan, ia akan menjadi motivasi untuk kami terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjadikan produk Tasik Cermin lebih mudah diakses dan menyeronokkan untuk semua pelancong.". Tambah Datuk Redza.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri Perak melalui aspirasi Perak Sejahtera 2030 turut giat membangunkan pelbagai inisiatif pelancongan termasuklah geopark di bawah flagship Ekonomi Pengalaman. Justeru itu, MHB terus komited dalam melaksanakan inisiatif pembangunan hijau dan eko pelancongan khususnya dalam pengurusan geopark di bawah inisiatif Pengurusan Aset dan Kemudahan MHB.
Encik Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan MHB dalam kenyataannya berkata," Ini merupakan satu penghormatan kepada MHB dan STG dimana anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf destinasi pelancongan itu sendiri tetapi juga aspek kualiti perkhidmatan di Tasik Cermin yang menjadi prioriti MHB dan STG sejak Tasik Cermin dibuka kepada pengunjung. Selain daripada kelestarian alam, komitmen kami secara kolektif dalam aspek kualiti, kebersihan dan kemudahan mesra pengunjung amat dititikberatkan. Anugerah berprestij ini akan menjadi penanda aras kepada kami untuk memastikan Tasik Cermin bukan sahaja destinasi popular akan tetapi sebagai ikon kepada bandaraya Ipoh."

Sementara itu, Encik Ng Seong Ping, Pengarah Tasik Cermin Ipoh berkata "Pihak STG berkerjasama erat daripada pihak MHB untuk terus menggiatkan usaha mempromosikan Tasik Cermin dengan menawarkan pakej - pakej yang bersesuaian mengikut pelbagai peringkat umur dan menambah lebih banyak aktiviti outdoor dan program – program yang menarik di sepanjang tahun 2025 seperti ATV, Perak Food Fiesta, Hari Geologi Sedunia, Tasik Cermin Run dan sebagainya untuk dinikmati oleh para pengunjung. Bagi tujuan tersebut kami akan memastikan kakitangan yang terlibat diberi latihan dan pendedahan yang secukupnya bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pihak. Tasik Cermin telah menarik lebih daripada 500,000 pelawat setakat Disember 2024. Pada tahun 2025, destinasi ini menyasarkan 1 juta pengunjung, yang dijangka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan komuniti tempatan dan ekonomi negeri. Sempena musim cuti sekolah yang akan bermula pada 17 Januari hingga 15 Februari 2025 ini, kami ingin menjemput semua rakyat Malaysia untuk hadir ke Tasik Cermin bagi menikmati pengalaman yang menarik serta menikmati pelbagai aktiviti menarik yang kami sediakan di sini. Adalah menjadi harapan kami untuk mencapai sasaran 1 juta pelancong menjelang akhir tahun 2025 nanti."
Mari alami sendiri keajaiban Tasik Cermin – destinasi unik yang menyatukan keindahan alam semula jadi dan pengalaman pelancongan bertaraf dunia. Untuk maklumat lanjut atau tempahan, layari www.tasikcermin.com atau hubungi talian 05-312 0016. Sertai komuniti kami dengan mengikuti perkembangan terkini dan promosi menarik melalui media sosial rasmi:
Instagram: @TasikCermin
Facebook: Tasik Cermin Ipoh Official

