Ipoh, 17 Disember 2024 – Warga emas di Negeri Perak kini berpeluang menikmati percutian eksklusif dengan harga yang lebih mampu milik melalui Program Sanjung Perak Sejahtera 2030. Program ini menawarkan penginapan pada harga RM180 semalam dan diskaun 15% untuk hidangan ala carte di Coffee House Hotel Casuarina@Meru. Tawaran ini terbuka kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas, menjadikan percutian berkualiti lebih mudah dicapai.
Fakta Utama Program Sanjung Perak Sejahtera 2030:
Program Sanjung merupakan satu pendekatan yang dirancang untuk mengintegrasikan elemen sosial dalam usaha mencapai keseimbangan ekonomi. Ia menerapkan elemen inovasi melalui idea dan konsep dalam meningkatkan kesejahteraan sosial selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030. Projek perintis ini merupakan usaha inovasi sosial yang diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) melalui anak syarikatnya Hotel Casuarina@Meru dan disokong oleh Sekretariat Wanita Perak (Wanita Perak) bagi diskaun pembelian baucer penginapan kepada warga emas.

YB Dato' Salbiah binti Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak berkata, "Program Sanjung ini adalah manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam meraikan warga emas di Negeri Perak. Inisiatif yang diketengahkan ini adalah bermatlamat memupuk semangat kasih sayang antara generasi, yang menggalakkan anak-anak meluangkan masa berkualiti bersama ibu bapa mereka. Warga emas Perak kini berpeluang menikmati percutian yang lebih istimewa dan mesra bajet melalui Program Sanjung Perak Sejahtera 2030 di Hotel Casuarina@Meru. Kerajaan Negeri amat prihatin kepada warga emas Negeri Perak supaya mereka tidak ketinggalan dalam menikmati percutian bersama keluarga dan rakan-rakan di lokasi percutian yang selesa, selamat dan mesra OKU (Orang Kurang Upaya)."
"Justeru itu, dalam program ini Kerajaan Negeri mengenalpasti lokasi yang strategik dan akses mesra kepada OKU dan warga emas seperti di Hotel Casuarina. Usaha sebegini akan dibuat berterusan dan diperluaskan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sokongan dan elemen inovasi sosial untuk kesejahteraan golongan berkenaan. Melalui kerjasama strategik antara PKNPk, Casuarina Hotel dan Sekretariat Wanita Perak, Program Sanjung Perak Sejahtera 2030 bakal menjadi pemangkin kepada pengukuhan ekonomi pelancongan tempatan dan menjadikan Negeri Perak sebagai destinasi pelancongan mesra warga emas," tambahnya.

Manakala, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk merangkap Ahli Lembaga Pengarah Casuarina Meru Sdn Bhd, berkata "Sebagai peneraju hospitaliti di negeri Perak, PKNPk dan Hotel Casuarina amat prihatin terhadap kemudahan yang selesa kepada OKU dan warga emas. Kami menyahut seruan Kerajaan Negeri dalam Program Sanjung ini di mana Hotel Casuarina@Meru memberi tumpuan dalam keselesaan, keselamatan dan kebolehgunaan kemudahan bagi golongan ini. Beberapa penambahbaikan telah dibuat oleh pihak Hotel Casuarina@Meru seperti penyediaan parkir khas yang lebih banyak, kemudahan ramp, panic button di bilik penginapan dan tandas khas di lobi."
Tambah beliau lagi, "Di samping itu, terdapat tarikan istimewa yang lain di sekitar Hotel Casuarina@Meru seperti pemandangan indah Banjaran Titiwangsa, kemudahan riadah untuk seisi keluarga di Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS), Taman Rimba Kledang Saiong dan lokasi Hotel Casuarina@Meru ini juga berhampiran dengan bandaraya Ipoh yang terkenal dengan pelbagai tarikan menarik yang lain. Selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 ini, PKNPk dan rangkaian Hotel Casuarina akan memperluaskan Program Sanjung di rangkaian hotel kami yang lain seperti di Hotel Casuarina@Pangkor dan Hotel Casuarina@Kuala Kangsar pada masa akan datang. Ia sudah tentu bakal memperkasakan sektor pelancongan Perak, mampu menarik lebih ramai pelancong ke hotel tempatan, sekali gus merancakkan ekonomi setempat."
"Pihak rangkaian Hotel Casuarina sentiasa komited dalam memastikan kualiti hospitaliti dan perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik. Baru-baru ini, Hotel Casuarina@Meru dan Hotel Casuarina@Kuala Kangsar telah dinobatkan sebagai penerima utama Anugerah Pelancongan Perak 2024, menerusi Anugerah Pengendali Acara Perniagaan Hotel Cemerlang (Excellence in Business Event Hotel Award) dan Anugerah Destinasi Terbaik (Best Destination Award) pada Majlis Anugerah Pelancongan Perak 2024. Ia sekaligus menjadi aspirasi untuk memartabatkan pelancongan negeri Perak sebagai destinasi pelancongan yang unggul di Malaysia. Hotel Casuarina bukan sekadar hotel, ia adalah simbol komitmen kami terhadap kesejahteraan rakyat Perak," tegas Datuk Redza Rafiq.

Menurut Sabrina Ahmad Tah, Pengurus Besar Hotel Casuarina@Meru, "Inilah peluang terbaik untuk anda menghadiahkan percutian istimewa kepada ibu bapa anda! Setiap baucar bernilai RM180.00 untuk satu malam. Pembelian baucar ini sah selama 6 bulan daripada tarikh pembelian. Bagi warga emas yang menginap di hotel ini, kami turut menawarkan potongan harga 15% untuk setiap pembelian hidangan ala carte di Coffee House kami. Kami turut menyajikan pelbagai menu seperti hidangan barat, masakan istimewa tempatan dan pelbagai pilihan menu sihat."
"Hanya 300 baucar disediakan untuk promosi ini. Untuk menebus, sila layari laman Facebook rasmi Hotel Casuarina@Meru atau laman sesawang www.casuarinahotels.com.my manakala pautan borang atas talian Google juga boleh didapati di laman Facebook dan laman sesawang Sekretariat Wanita Perak. Jangan lepaskan peluang ini! Tempah sekarang sebelum baucar habis terjual!"
Hotel Casuarina@Meru:
Laman Sesawang: www.casuarinahotels.com.my
Facebook: https://www.facebook.com/casuarina.meru
Sekretariat Wanita Perak:
Facebook: https://www.facebook.com/sekretariatwanitaperak?mibextid=ZbWKwL
Tempahan bilik boleh dibuat melalui telefon di talian +6 05-529 9999 atau e-mel ke rsvn@casuarinahotels.com.my
