Ipoh, 27 November 2024 – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Perak Corporation Berhad dan Advancecon Holdings Berhad telah melangkah ke fasa seterusnya dalam memperkukuh pelaksanaan pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) melalui Majlis Pengesahan dan Penyerahan Ex-Gratia yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru. Seramai 97 setinggan pertanian di Kanthan, Chemor, hadir bagi menerima ex-gratia tersebut.
Setinggan pertanian telah menerima cek sebagai ex-gratia daripada pihak Advancecon Holdings Berhad (Advancecon) sebagai tanda ihsan. Majlis turut dihadiri oleh dua (2) Exco Negeri iaitu YB Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor dan YB Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak.
Menurut YB Loh, "Majlis Pengesahan dan Penyerahan Ex-Gratia pada hari ini menunjukkan usaha pihak yang terlibat, khususnya Advancecon Holdings Berhad dalam memastikan proses pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab. Pemberian ini adalah tanda ihsan yang mencerminkan pendekatan berhemah dalam melaksanakan projek dengan mengambil kira keperluan untuk mencapai keseimbangan di dalam inisiatif-inisiatif pembangunan negeri.
"Pemberian ex-gratia ini membolehkan projek pembangunan berimpak tinggi dapat dilaksanakan dengan lancar, menjadikan SVTP sebagai hab teknologi yang maju. Usaha ini selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Perak melalui inisiatif utama Perak Sejahtera 2030, yang menekankan Program Pembangunan Industri dan Mesra Pelabur." tambah YB Loh.
Negeri Perak berada di landasan yang tepat dalam menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030. Projek-projek yang dirancang menerusi pembangunan yang disusun oleh Kerajaan Negeri Perak berpotensi membawa masuk kluster-kluster industri baharu dan berteknologi tinggi. Antara projek-projek tersebut ialah Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Perak Halal Industrial Park (Perak HIP), Silver Valley Technology Park (SVTP), Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
YBhg Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk, merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Perak Corp berkata, "Kumpulan PKNPk komited dalam menjayakan projek SVTP demi memastikan projek ini memberi manfaat kepada negeri Perak. Ini kerana Perak menunjukkan potensi yang sangat baik untuk menjadi salah sebuah negeri penyumbang utama ekonomi Malaysia. Justeru itu, Perak Corp, anak syarikat PKNPk, telah diberi mandat untuk memajukan SVTP melalui perjanjian usahasama dengan rakan strategiknya, Advanceon Development Sdn Bhd. Kawasan Fasa 1 SVTP yang seluas 816 ekar ini mempunyai anggaran Nilai Pembangunan Kasar ('GDV') sebanyak RM1.03bil; dan berpotensi menjadi sebuah kawasan perindustrian yang bertaraf antarabangsa."
"SVTP dijangka mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan yang melahirkan pekerja mahir dan separuh mahir. Ia bakal menjadi platform bagi teknologi perindustrian moden, mempercepat proses inovasi dan memberi daya saing kepada negeri Perak khususnya kepada Bandaraya Ipoh dan Bandar Meru Raya. Melalui kerjasama strategik dengan rakan pemaju, kami menyasarkan kemasukan pelaburan swasta bernilai RM14 bilion, yang dijangka dapat menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Perak," tambahnya.

