Ipoh, 26 Oktober 2024 – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) buat julung kalinya menganjurkan program Bulatan Sultan Azlan Shah Festival 2024 (BSAS Festival) bermula 25 hingga 27 Oktober 2024.
Datuk Redza Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk berkata, "BSAS merupakan taman rekreasi yang diurus sepenuhnya oleh PKNPk. Ia dibuka kepada orang ramai sejak tahun 2017 dan kini merupakan lokasi hotspot kepada pengunjung sama ada bagi tujuan rekreasi, hiburan mahupun penganjuran acara. Bersempena dengan Kempen Tahun Melawat Perak 2024, PKNPk menggerakkan satu inisiatif menganjurkan BSAS Festival dalam merancakkan lagi promosi dan keceriaan negeri Perak."
"BSAS telah pun menjadi salah sebuah lokasi utama aktiviti riadah bersama keluarga selain turut menjadi kawasan tumpuan pelancong yang berkunjung ke Negeri Perak. Melalui penganjuran program seperti ini, masyarakat dari pelbagai lapisan umur dapat didedahkan kepada keunikan budaya. Pelbagai program yang mampu menarik pengunjung telah diatur sepanjang 3 hari festival ini. Selain daripada itu, penganjuran BSAS Karnival 2024 ini adalah untuk memberi peluang kepada 50 usahawan kecil dan sederhana tempatan untuk menjana pendapatan sepanjang festival ini berlangsung. Ia selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri melalui Flagship 10 – iaitu Ekonomi Pengalaman bagi Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030" tambah beliau.
BSAS Festival 2024 berkonsep karnival yang dipenuhi dengan aktiviti permainan, konsert, pertandingan karaoke, gerai jualan makanan dan sebagainya. Pengisian BSAS ini dijangka memberi pengalaman dan kepuasan dalam aktiviti dan hiburan untuk pelbagai lapisan masyarakat terdiri daripada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. Penglibatan sebanyak 70 vendor pelbagai kategori yang melibatkan 3 segmen.
i.i. Aktiviti Jualan dan Makanan
50 usahawan tempatan akan terlibat dalam makanan dan minuman, koleksi hobi, kenderaan, telco dan sebagainya
i.ii. Hiburan
Jemputan artis popular tanah air seperti Kumpulan Kristal, Ronie Hussin, Usop Mentor, Kumpulan Jitu dan Kumpulan Tebaboo ft Abu May. Jemputan artis indipendent tempatan seperti band Shizuka Ben Aman, HEM, Besska Tok Saad, D'Pujanggas, Cyruspark dan Mangrove.
i.iii. Permainan
Aktiviti – aktiviti tambahan yang melibatkan golongan belia dan kanak-kanak seperti Dinosaur World, Rumah Hantu Tantirana, Kereta Kuda, Mini Petting Zoo, E- Go Kart dan lain-lain aktiviti.
Selain itu, BSAS Festival 2024 turut menawarkan peluang kepada para pengunjung dalam mengambil bahagian dalam Pertandingan Karaoke dan Battle of the Band dengan penawaran hadiah-hadiah yang menarik. Larian Fun Run 5 km juga bakal menceriakan pagi Sabtu BSAS Festival 2024 dengan penyertaan seramai 200 orang.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia turut mengadakan Program Jualan Rahmah Madani. Dijangkakan sebanyak 1,200 paket beras pelbagai jenama akan dijual dengan harga serendah RM15.00, manakala sebanyak 1,000 botol minyak masak dijual dengan harga serendah RM9.90. Kuantiti barang-barang tersebut mungkin akan ditambah sekiranya permintaan meningkat sepanjang 4 hari karnival jualan ini berlangsung. Di samping itu, Pasaraya Mydin, Segi Fresh dan AEON juga ikut serta bagi memeriahkan lagi BSAS Festival 2024 dengan membuka gerai jualan barangan keperluan asas harian dengan harga yang berpatutan.
"Memahami kesan kos sara hidup yang semakin meningkat, PKNPk berharap dengan mengadakan inisiatif sebegini mampu meringankan perbelanjaan pengunjung untuk mendapatkan keperluan harian mereka. Usaha ini mencerminkan keperihatinan serta usaha berterusan kerajaan dalam membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup."
BSAS Festival 2024 dirasmikan oleh Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk. Tambah beliau "PKNPk juga sedang merangka satu program seperti BSAS Festival yang akan dianjurkan di setiap daerah di dalam negeri Perak. Program tersebut bakal dijenamakan sebagai "Jelajah Karnival Santai Anak Kampung (KSAK) yang akan turut berkolaborasi dengan beberapa agensi / jabatan kerajaan peringkat daerah, pemimpin tempatan serta masyarakat luar bandar."

