Ipoh, 2 Oktober 2024 – Anak Syarikat hospitaliti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Hotel Casuarina@Meru dan Hotel Casuarina @ Kuala Kangsar telah dinobatkan sebagai penerima utama Anugerah Pelancongan Perak, masing-masing menjuarai kategori Excellence in Business Event Hotel Award dan Best Destination Award. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani bin Mohamad sempena Majlis Anugerah Pelancongan Negeri Perak 2024 yang diadakan malam tadi.

Bernaung di bawah Perak Corporation Berhad, kedua-dua jenama hotel ini membuktikan kejayaan ini merupakan sebahagian daripada kecemerlangan servis dan kualiti perkhidmatannya serta turut mencerminkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menawarkan perkhidmatan yang unggul kepada semua pengunjung.

Rangkaian Hotel Casuarina turut menawarkan kemudahan dan aksesibiliti yang selesa kepada pengunjung. Malah, setiap hotel seperti di Meru dan Kuala Kangsar turut menawarkan penginapan yang menarik mengikut daya tarikan pelancongan di persekitarannya.

Hotel Casuarina @ Kuala Kangsar memenangi anugerah Best Cityscape Destination Award di bawah kategori Best Destination Award. Manakala Hotel Casuarina@Meru memenangi anugerah Excellence in Business Event Hotel Award. Majlis anugerah yang dianjurkan oleh Tourism Perak ini telah diadakan di Hotel Casuarina @Meru dan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato Seri Saarani bin Mohamad.

Majlis tersebut mempertandingkan 45 pencalonan di bawah 10 kategori : penginapan, perkhidmatan, produk pelancongan dan lain-lain.

YBhg. Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk merangkap Ahli Lembaga Pengarah, Casuarina Meru Sdn Bhd berkata, "Anugerah tersebut mengiktiraf Casuarina atas kemudahan yang cemerlang dan standard perkhidmatan luar biasa yang ditonjolkan. Ia juga merupakan satu penghormatan besar dan pengiktirafan kepada kesungguhan, kerja keras dan dedikasi dalam kalangan kami. Ini juga merupakan bukti kukuh sokongan Kerajaan Negeri Perak untuk mengangkat Perak sebagai hab pelancongan premier melalui kempen Tahun Melawat Perak 2024."

"Kami berterima kasih kepada Tourism Perak dan tetamu kami kerana pengiktirafan besar ini," katanya.

Datuk Redza juga berkata beliau yakin anugerah itu juga akan menjadi antara faktor para pelanggan menjadikan hotel tersebut sebagai destinasi pilihan penginapan utama apabila bercuti serta berkunjung ke Ipoh, Perak.

"Anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk terus mencapai lebih banyak kejayaan dan mengekalkan kecemerlangan dalam industri pelancongan di Perak khususnya," ujarnya.

Manakala YBhg. Dato' Mohd Azhar Jamaluddin, Pengerusi Lembaga Pengarah Casuarina Meru Sdn. Bhd berkata, "Dengan pengiktirafan ini, Rangkaian Hotel Casuarina akan terus mengangkat martabat industri hospitaliti di Perak, seraya menginspirasi seluruh rangkaian untuk terus meningkatkan kualiti dan inovasi dalam setiap aspek perkhidmatan kami."

Menurutnya, anugerah itu merupakan satu tanda aras penting untuk menjadi lebih baik dan lebih banyak akan dilakukan bagi memastikan kepuasan tetamu yang menginap di hotel terjaga.

"Ia adalah bukti keupayaan kami memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penginapan kelas premium, menawarkan hospitaliti terbaik, perkhidmatan dan tempat makan terbaik secara bertanggungjawab dari segi ekologi," katanya.

"Marilah jadikan kemenangan kami sebagai jemputan terbuka daripada kami kepada seluruh Malaysia untuk datang mengalami sendiri pengalaman hebat di hotel-hotel di bawah naungan kami," tambahnya lagi.

Majlis tersebut telah disemarakkan lagi dengan kehadiran YB Tuan Loh Sze Yee, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak. YB. Dato' Mohd Kamil Dato' Shafie, Pengerusi Tourism Perak; Pn. Nurmalis Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak dan En. Rosmin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Perak Corp turut hadir meraikan kejayaan ini sebagai simbol kemajuan pelancongan di Perak.