Bandar Meru Raya, 6 February 2025 – Menyambut bulan suci dengan penuh gaya, Hotel Casuarina@Meru dengan bangga mempersembahkan bufet Ramadan "Syurga Rasa Ramadan," yang bakal menyajikan lebih daripada 100 jenis hidangan istimewa yang menggabungkan keunikan masakan Malaysia. Bermula 2 Mac hingga 29 Mac 2025, bufet ini menjadi pilihan utama bagi pengunjung yang mencari pengalaman berbuka puasa yang tidak dilupakan di Bandaraya Ipoh.

Dengan kapasiti sehingga 1,000 tetamu pada setiap masa, Pusat Konvensyen Casuarina menjadi lokasi yang ideal untuk berkumpul dan berbuka puasa bersama keluarga, rakan-rakan, dan juga sanak saudara. Suasana yang luas dan selesa ini memastikan setiap tetamu dapat menikmati sajian tanpa rasa sesak atau terganggu. Ruang solat yang luas dan berhawa dingin sepenuhnya, turut disediakan yang pasti akan memberi keselesaan kepada pengunjung yang datang untuk berbuka puasa bersama. Pihak hotel juga menyediakan imam bagi solat tarawih. Kemudahan lain seperti tandas yang selesa, ruang parkir luas dan percuma, malah Hotel Casuarina@Meru juga turut menyediakan ruang parkir khas untuk yang berkeluarga, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Di bawah kepemimpinan Ketua Chef, Muhammad Fariz Abdul Lateh bersama Chef Daud Ariffin dan Chef Hafizan Abdul Aziz, Hotel Casuarina@Meru janjikan suatu pengalaman gastronomi yang pasti bakal membangkitkan selera. Dari Kibas Panggang hingga Bubur Lambuk Tulang Kambing yang kaya dengan rasa, Burung Puyuh Berempah yang memukau selera, setiap hidangan disajikan dengan penuh keunikan dan teliti, pasti dinantikan oleh setiap pengunjung.

Bakal menggamit selera, Syurga Rasa Ramadan kali ini adalah Ikan Patin Masak Lemak Tempoyak, Kambing Gulai Kawah, Daging Dendeng, Pucuk Ubi Masak Lemak Labu, Ayam Golek Pandan dan Daging Salai Masak Lemak. Manakala gerai-gerai gorengan turut disediakan terutamanya hidangan signature Cucur Udang Casuarina di samping Ubi Keledek dan Ubi Keladi Goreng serta Pisang Goreng.

Tidak sah berbuka tanpa hidangan panas dari gerai masakan yang berkonsepkan 'stesen warung' seperti Shawarma Ayam, Bubur Lambuk Tulang Kambing, Pasembur, Nasi Mandy Bersama Dalca Sayur Tulang Kibas, Ipoh Char Kuey Teow dan sebagainya. Selain itu, kuih-muih dan pencuci mulut seperti Jala Mas, Kole Kacang, Sekaya dan sebagainya bakal menggamit selera. Sambil menikmati hidangan, tetamu akan dihiburkan dengan alunan muzik dan persembahan buskers yang akan memeriahkan suasana malam Ramadan.

Chef Fariz Abdul Lateh berkata, "Kami berbangga dapat menawarkan pilihan yang banyak dan menu yang pelbagai, daripada hidangan tradisional hingga kontemporari, kami yakin ia bakal menambat selera semua yang hadir. Setiap juadah kami siapkan dengan nuansa kekeluargaan dan kehangatan, mengimbau kenangan Ramadan yang indah."

Puan Sabrina Ahmad Tah, Pengurus Besar Hotel Casuarina@Meru, menambah, "Kami meraikan kedatangan Ramadan dengan semangat kebersamaan. Ramadan adalah masa untuk berkumpul dan berkongsi rezeki. Di Hotel Casuarina@Meru, kami berusaha untuk mencipta momen yang bukan sekadar menambat selera tetapi juga menyemarakkan jiwa. Dengan bufet 'Syurga Rasa Ramadan' ini, kami ingin para pelanggan kami merasai kehangatan dan kekayaan tradisi Malaysia melalui setiap suapan."

Bufet ini ditawarkan pada harga RM88.00 untuk dewasa, RM85.00 untuk warga emas, dan RM58.00 untuk kanak-kanak. Kanak-kanak dibawah umur 5 tahun tidak dikenakan sebarang bayaran. Bagi pengunjung yang ingin merancang lebih awal, Hotel Casuarina@Meru menawarkan promosi pembelian awal baucar early bird dewasa dengan harga RM80.00. Tempahan perlu dibuat sebelum 25 Februari 2025.

Pengalaman lebih 10 tahun dalam penyediaan bufet Ramadan, Hotel Casuarina@Meru yakin dengan pendekatan dan kepelbagaian menu ini dapat memenuhi citarasa pelanggan kami.

Pakej Penginapan & Makan 2D1N Ramadan Mubarak
(Tarikh Penginapan: 2 Mac – 29 Mac 2025)

Selain itu, pada Ramadan kali ini, Hotel Casuarina@Meru turut menawarkan dua (2) pakej penginapan 2D1N iaitu Barakah & Sinar Ramadan. Pakej Barakah bermula dengan harga RM358 semalam beserta sahur dan iftar untuk dua (2) orang. Manakala, pakej Sinar Ramadan bermula dengan harga RM200 semalam termasuk sahur untuk dua (2) orang.