Ipoh, 08 Jan 2026 – Kerajaan Negeri Perak melalui Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) terus memperkukuh agenda transformasi ekonomi digital negeri menerusi sokongan dan kerjasama dengan syarikat A-Asign Corporation Sdn Bhd (A-Asign) dalam memperluaskan perniagaan dan pelaburan syarikat tersebut di Perak. Kerjasama ini membawa kepada Perasmian Pembukaan Pejabat Operasi Baharu A-Asign di Wisma A-Asign, Basco Avenue@Kepayang, pada hari ini.

Komitmen ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam meletakkan Perak sebagai destinasi strategik Global Business Services (GBS) berimpak tinggi selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 (PS2030) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030.

Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata, “Kerajaan Negeri Perak menyambut baik peluasan operasi syarikat perkhidmatan bernilai tinggi seperti A-Asign yang menawarkan perkhidmatan GBS berteraskan inovasi, pendigitalan dan kecemerlangan operasi.”

Beliau berkata, pembukaan pejabat operasi baharu A-Asign di Ipoh membuktikan keyakinan pelabur terhadap peningkatan kemajuan ekonomi digital negeri, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan sektor GBS serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi untuk rakyat tempatan.

“Pendekatan bersepadu Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan inisiatif GBS melalui Digital Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Jawatankuasa Pelaksanaan GBS@Ipoh membolehkan penyediaan ekosistem yang kondusif kepada pemain industri digital yang mengukuhkan kedudukan Ipoh sebagai hab GBS mampan dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, YB Tuan Azlan Helmi bin Helmi, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak berkata, “Kerjasama strategik antara Digital Perak dan A-Asign merupakan antara contoh pelaksanaan dasar ekonomi digital negeri yang berfokus kepada hasil dan impak jangka panjang. Digital Perak berperanan sebagai pemudah cara utama agenda GBS negeri dengan menyelaras pengembangan operasi A-Asign sejak tahun 2024, termasuk kerjasama strategik bersama agensi Persekutuan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) bagi penyediaan sokongan dan insentif pelaburan.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pelaksanaan GBS@Ipoh akan terus mempergiat usaha menarik pemain industri GBS berkualiti tinggi ke Ipoh melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi pembangunan bakat, sokongan infrastruktur dan pemudah cara pelaburan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif A-Asign, Encik Ayub Amin berkata, pemilihan Ipoh sebagai pangkalan operasi strategik syarikat mencerminkan keyakinan A-Asign terhadap potensi Perak sebagai hab GBS yang berdaya saing di peringkat serantau dan global, selaras dengan strategi jangka panjang syarikat untuk memperluaskan kapasiti perkhidmatan GBS.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan berterusan Kerajaan Negeri Perak melalui Digital Perak telah memudah cara pengembangan operasi syarikat secara tersusun dan berkesan, di samping memperkukuh komitmen A-Asign dalam membangunkan bakat tempatan melalui penyediaan peluang pekerjaan berkemahiran dan bernilai tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem GBS yang mampan dan berimpak tinggi kepada ekonomi tempatan.

Majlis ini turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Digital Perak dan A-Asign yang merupakan kerjasama pertama antara kedua-dua pihak. MoU ini memberi tumpuan kepada usaha mempromosi Wisma A-Asign sebagai salah satu HAB GBS@Ipoh bagi memudah cara insentif berkaitan serta meneroka peluang perniagaan digital baharu termasuk pembangunan sistem digital.

Pejabat operasi baharu A-Asign yang merangkumi bangunan tiga tingkat ini mempamerkan keupayaan operasi Business Process Outsourcing (BPO) dan penyelesaian GBS dalam pengurusan operasi, sokongan korporat dan perkhidmatan digital bernilai tambah berasaskan teknologi pintar, tadbir urus terbaik dan kecekapan global bagi memenuhi keperluan pelanggan tempatan serta antarabangsa.

Dalam usaha berterusan, Digital Perak akan terus menerajui usaha membawa masuk pelaburan digital bernilai tinggi dan memperkasa industri GBS negeri melalui kerjasama erat dengan pemain industri selari dengan keperluan pasaran semasa dan agenda pembangunan Negeri Perak. Usaha ini adalah selaras dengan Agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah Flagship 11 – Ekonomi Digital serta menyokong Teras Pertama dan Teras Ketiga Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030, iaitu Akses kepada infrastruktur digital berkualiti dan Ekosistem perniagaan rancak dipacu pendigitalan.