Ipoh, 04 December 2025 - Agenda pendigitalan Negeri Perak mendapat suntikan momentum baharu menerusi penyaluran geran daripada pihak Bendahari Negeri sebanyak RM100 ribu melalui Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) untuk penganjuran program dan aktiviti promosi penggunaan sistem tanpa tunai (cashless) bagi memperluas inisiatif tersebut.
Di bawah program ini, ‘Geran Digital PMKS Clicks@Perak’ bernilai RM2,000 bagi setiap penerima disalurkan melalui Digital Perak dalam bentuk Sistem Point-of-Sale (POS) Clicks@Perak, yang merangkumi tablet Redmi Pad 2, stylus pen, pencetak resit, laci tunai serta aksesori sokongan. Pakej lengkap ini menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk operasi digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus meningkatkan keupayaan digital mereka.
Tumpuan Utama: Produktiviti, Kecekapan & Akses Pasaran Lebih Luas
Inisiatif ini bukan sekadar melancarkan urus niaga tanpa tunai, malah membolehkan PMKS merekod data jualan secara automatik, memudahkan pemantauan inventori, analisis prestasi perniagaan, penetapan harga dan pelaporan kewangan. Pendekatan berasaskan data ini membuka ruang lebih luas bagi penilaian impak ekonomi setempat serta menyokong perancangan dasar bersandarkan maklumat yang tepat.
Sejurus menerima geran, usahawan turut diberi latihan pemasangan dan penggunaan sistem POS termasuk pembayaran melalui QR, e-dompet, kad debit dan kredit, memastikan setiap penerima bukan hanya menerima peralatan, tetapi juga kompetensi digital yang diperlukan.
Sejak dibuka pada 15 Oktober lalu, program ini menerima 120 permohonan berdaftar melalui portal SME D-Base di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP). Setiap permohonan telah melalui proses saringan teliti oleh Digital Perak, STeP dan Perak Halal Corporation.
Hari ini, 34 usahawan tempatan dipilih sebagai penerima geran dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Hub Inovasi & Multimedia (HiM). Majlis disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi bin Mohamad Tahir, bersama Timbalan Pengarah STeP, Syed Omar Huzaimi bin Syed Ghaib, dan Pegawai Program Perak Halal, Muhammad Alif bin Anas.
Menjayakan Aspirasi Perak Sejahtera 2030 – Ekonomi Digital Mapan
“Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang pendigitalan kepada usahawan, malah mengukuhkan visi negeri ke arah masyarakat celik teknologi dan ekosistem ekonomi digital yang lebih mapan,” ujar Mohamad Suhaimi.
Tambah beliau, program ini selari dengan Agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah Flagship 11 – Ekonomi Digital, serta menyokong Teras Ketiga Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Perak 2030 – Ekosistem Perniagaan Rancak Dipacu Pendigitalan.
“Program ini menjadi pemangkin kepada Pemerkasaan Ekosistem Pembayaran Tanpa Tunai, mempercepatkan urus niaga, meningkatkan keselamatan transaksi dan meningkatkan daya saing PMKS untuk menghadapi cabaran ekonomi global.”
Perak Menuju Negeri Digital – Daripada Pengguna Kepada Pencipta Teknologi
Sebagai agensi pemangkin agenda ekonomi digital negeri, Digital Perak memberi penekanan bahawa transformasi digital hanya akan berjaya jika penyertaan PMKS bersifat menyeluruh – bukan hanya penggunaan teknologi semasa tetapi pembinaan kemahiran, kesediaan data dan perubahan budaya kerja.
Melalui ekosistem sokongan yang merangkumi latihan, pembiayaan peralatan, program kesedaran keselamatan siber dan bimbingan pasaran, inisiatif ini merupakan antara langkah strategik memperkukuh daya tahan dan pertumbuhan PMKS selari perubahan pola perbelanjaan pengguna yang kini lebih cenderung kepada transaksi tanpa tunai.
Program Clicks@Perak turut disasarkan kepada pelajar tertiari bagi meningkatkan kesedaran dan penggunaan transaksi tanpa tunai. Usaha ini menyokong pembudayaan cashless campus, menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam urusan harian pelajar serta memantapkan kesiapsiagaan generasi muda terhadap ekosistem tanpa tunai—seterusnya menyokong aspirasi Perak ke arah sebuah negeri yang lebih digital dan inovatif.

