Ipoh, 10 October 2025 - Kerajaan Negeri Perak memperkukuh komitmen terhadap kesejahteraan rakyat luar bandar melalui inisiatif lampu jalan bertenaga solar yang dilaksanakan oleh Perak Industrial Resources Sdn Bhd (PIRSB), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk). Usaha ini menyasar meningkatkan keselamatan komuniti, merancakkan aktiviti ekonomi setempat dan menyokong peralihan tenaga bersih yang lebih mampan selari dengan Perak Sejahtera 2030.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, ketika merasmikan pemasangan di RPT Changkat Berangan, DUN Kota Tampan, Lenggong, menegaskan bahawa projek pencahayaan jalan berasaskan solar ini bukan projek biasa, tetapi sebahagian strategi negeri untuk memastikan kemajuan dirasai sampai ke akar umbi.
“Pemasangan lampu di kawasan berisiko gelap mengurangkan kemalangan dan jenayah kecil, mewujudkan suasana yang lebih aman dan kondusif untuk aktiviti komuniti. Pencahayaan yang baik turut memanjangkan waktu operasi peniaga kecil serta mengukuhkan jaringan sosial setempat,” ujar beliau.
Menggariskan penjajaran dasar negeri, YAB Menteri Besar menambah bahawa inisiatif ini menyokong Flagship 12: Sumber Air dan Tenaga Boleh Baharu di bawah Perak Sejahtera 2030 – memacu kelestarian sumber dan alam semula jadi, serta menyokong aspirasi menjadikan Perak negeri pintar, rendah karbon dan mesra alam. Selain itu, ia selaras dengan rangka kerja Bandar Pintar Negeri Perak, yang menekankan tujuh komponen utama: Infrastruktur Digital Pintar, Tadbir Urus Pintar, Ekonomi Pintar, Rakyat Pintar, Alam Sekitar Pintar, Mobiliti Pintar & Kehidupan Pintar – dengan penekanan kepada pendekatan People-Centric Smart City yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Dalam usaha ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak 1000 unit lampu solar jalan jenama Sunno daripada Perancis untuk dipasang di kawasan luar bandar dan kawasan perkampungan orang asli di negeri Perak. Ini merupakan bukti nyata komitmen Kerajaan Negeri melalui PKNPk dalam membawa pembangunan mampan dan teknologi hijau ke seluruh Perak.” ujarnya lagi.
Datuk Redza Rafiq, Ketua Eksekutif PKNPk menekankan aspek pelaksanaan dan teknologi:
“Projek ini selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah Flagship 12 : Sumber Air dan Tenaga Boleh Baharu, khususnya dalam mencapai teras kelestarian sumber dan alam semula jadi serta menjadikan Perak sebuah negeri pintar, rendah karbon dan mesra alam. Melalui anak syarikat kami, PIRSB, kerjasama strategik telah dijalinkan bersama rakan teknologi Aero Line Facilities & Engineering Services Sdn Bhd (ALFES) bagi melaksanakan pemasangan lampu solar pintar jenama Sunna dari Perancis. Teknologi ini bukan sahaja mudah dipasang dan tahan lasak, malah dilengkapi sistem kawalan pintar yang cekap serta boleh dipantau secara digital melalui aplikasi mudah alih (SunnApp) pada bila-bila masa.”
Setakat ini, 107 unit lampu solar Sunna telah dipasang di beberapa lokasi utama termasuk Perak Techno Trade Centre (27 unit), Bulatan Sultan Azlan Shah (75 unit) dan DUN Air Kuning (5 unit). 10 unit siap dipasang di DUN Kota Tampan bersempena pelancaran ini, manakala 5 unit masing-masing akan dipasang di DUN Jalong dan DUN Tualang Sekah dalam masa terdekat. Fasa seterusnya akan memfokuskan perkampungan Orang Asli, kawasan FELDA dan koridor luar bandar berkeutamaan, agar manfaat pembangunan sampai kepada komuniti yang paling memerlukan.
Dari sudut sosioekonomi, model pelaksanaan PKNPk memberi keutamaan kepada ‘local-first’ – mengoptimumkan penggunaan kontraktor setempat untuk kerja asas tapak, latihan penyelenggaraan mikro dan peluang servis berkala. Pendekatan ini memastikan nilai projek berpusing dalam ekonomi daerah, membina kemahiran tempatan dan mengukuhkan daya saing komuniti luar bandar. Di samping itu, penjimatan kos operasi melalui penggunaan tenaga solar membebaskan ruang fiskal untuk program rakyat yang lain.
Sejajar prinsip ketelusan & akauntabiliti, PKNPk merancang papan pemuka prestasi (dashboard) peringkat daerah yang memaparkan status berfungsi dan jadual penyelenggaraan ringkas bagi memastikan tindakan responsif dan impak yang boleh diukur.
Dengan sokongan padu Kerajaan Negeri, kerjasama agensi dan rakan industri serta penglibatan komuniti, Perak berada di landasan untuk muncul sebagai model negeri pintar dan lestari. Dengan peluasan berfasa dan pemantauan terbuka, Perak menetapkan standard baharu bagaimana dasar hijau diterjemahkan menjadi manfaat harian yang boleh diukur.
