Pengkalan Hulu, 25 September 2025 - Usaha menjadikan Perak sebagai negeri maju, terancang dan lestari mencapai satu lagi pencapaian penting hari ini apabila Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MDPH) secara rasmi menjalin kerjasama strategik dengan Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) – satu inisiatif utama Kerajaan Negeri Perak yang menerajui transformasi digital dalam pengurusan utiliti melalui sistem pintar KUDRAT.

Kerjasama ini menandakan lonjakan baharu dalam usaha memperkukuh tadbir urus pembangunan serta kecekapan penyampaian perkhidmatan utiliti secara menyeluruh dan bersepadu di daerah ini, sejajar dengan Agenda 9: Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut telah disaksikan oleh YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak di Dewan Persidangan MDPH, Pengkalan Hulu.

“KUDR adalah satu pendekatan baharu yang lebih sistematik, telus dan efisien dalam menyelaras permohonan dan pelaksanaan kerja-kerja utiliti,” ujar YB Sandrea.

“Sistem KUDRAT membolehkan semua urusan dijalankan secara digital tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat. Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos, malah meningkatkan ketelusan dalam setiap proses pembangunan.”

Menurut beliau, platform ini juga membolehkan penyelarasan yang lebih efektif dalam aspek keselamatan dan kecekapan projek, sekali gus menyumbang kepada keyakinan rakyat terhadap perancangan dan keupayaan kerajaan negeri.

YB Sandrea turut mengumumkan bahawa bermula 1 Oktober 2025, semua agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam kerja-kerja pembangunan di bawah pentadbiran MDPH wajib menggunakan platform KUDR untuk sebarang urusan berkaitan utiliti.

Pengurusan Utiliti Bertaraf Antarabangsa

Melangkaui hanya digitalisasi permohonan, sistem KUDRAT juga menyumbang kepada pembangunan Pangkalan Data Geospatial Utiliti Negeri Perak, yang bakal menjadi rujukan utama dalam perancangan bandar, penyelarasan projek infrastruktur dan pemetaan aset utiliti secara menyeluruh.

“Sistem ini mampu mengurangkan kerja bertindih antara kontraktor, mencegah gangguan terhadap perkhidmatan awam, serta mempercepatkan pelaksanaan projek dengan standard antarabangsa,” tambah YB Sandrea.

Pengkalan Hulu Jadi Pemacu Baharu

Sementara itu, Yang Dipertua MDPH, En. Meor Sahubul Fadilah bin Zainudin, menyambut baik kerjasama ini, sambil menyatakan keyakinan bahawa daerah sempadan seperti Pengkalan Hulu mempunyai potensi besar untuk melonjak ke hadapan melalui pembangunan yang lebih terancang dan moden.

“Kita perlu keluar dari kaedah manual yang ketinggalan. Inisiatif ini membuka ruang ke arah pentadbiran yang lebih efisien dan berimpak tinggi. KUDR membawa nilai tambah besar kepada daya saing daerah ini dalam menarik lebih banyak pelaburan dan mempertingkatkan kualiti hidup rakyat.” tambah beliau lagi.

Daerah Keempat Gunakan Sistem KUDR

Pengkalan Hulu kini menjadi daerah keempat di negeri Perak yang mengguna pakai platform ini selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) – sekaligus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menstruktur semula ekosistem pengurusan utiliti di seluruh Perak.