Kuala Lumpur, 28 July 2025 - Komitmen Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dalam merapatkan jurang antara industri dan pihak berkuasa terus diperlihatkan menerusi penganjuran Special Coffee Series edisi ke-16, yang berjaya menghimpunkan hampir 300 peserta dari pelbagai sektor industri pagi ini di Hotel Casuarina @ Meru.
Program yang dianjurkan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Perak dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak ini memberi fokus kepada penerangan berkaitan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang telah dikuatkuasakan mulai 1 Julai 2025.
Sambutan hangat yang diterima dengan pendaftaran ditutup hanya beberapa jam selepas dibuka, menunjukkan betapa tingginya keperluan pemain industri untuk mendapatkan pencerahan serta maklumat tepat dan terkini mengenai perubahan dasar percukaian negara.
Menurut Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Special Coffee Series ini bukan sekadar sesi penerangan biasa, malah merupakan sebuah platform strategik dan inklusif yang menyatukan penggubal dasar, agensi pelaksana dan komuniti perniagaan.
“Kita tidak mahu wujud jurang maklumat antara dasar yang diumumkan dan realiti pelaksanaannya di lapangan. Ini bukan tentang cukai semata-mata, tetapi tentang kejelasan, keyakinan dan kesinambungan operasi perniagaan. Bila syarikat jelas tentang tanggungjawab mereka, pematuhan akan jadi lebih mudah dan ekonomi akan terus berkembang dalam keadaan yang stabil dan sihat,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, usaha seperti ini selari dengan misi PKNPk untuk menjadi pemudah cara dan penyelesai masalah bagi komuniti perniagaan, terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks dan mencabar.
“Dalam dunia yang sentiasa berubah, komunikasi dua hala antara kerajaan dan industri perlu lebih pantas, terbuka dan responsif. Sebab itu kita adakan program seperti ini supaya dasar tidak hanya sampai ke telinga, tetapi juga sampai ke akar operasi syarikat dengan kefahaman yang tepat,” ujar Datuk Redza lagi.
Turut hadir Puan Suzana binti Sarif, Timbalan Pengarah Kastam Negeri Perak dan Encik Mark Chan Chow Loong, Timbalan Pengerusi FMM Perak.
Sepanjang sesi, para peserta berpeluang bertanya secara langsung kepada panel Kastam mengenai pelbagai isu teknikal seperti pengecualian cukai mengikut sektor, kaedah peralihan, proses pendaftaran serta pelaporan terkini.
Reaksi peserta juga amat positif, dengan ramai menyatakan bahawa format santai namun padat dengan informasi ini memberi ruang untuk mereka mengemukakan soalan yang selama ini sukar dijawab menerusi saluran formal.
Sebagai siri dialog tidak formal tetapi penuh impak, Special Coffee Series kini diiktiraf sebagai salah satu platform utama jaringan industri di negeri Perak, menggabungkan input dasar kerajaan dengan pengalaman praktikal dunia perniagaan. Sejak dimulakan, ia telah menganjurkan 16 edisi, termasuk enam kali dalam tahun 2025 sahaja, menjadikannya salah satu inisiatif berkala paling konsisten dalam landskap industri negeri.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan PKNPk di bawah Perak Sejahtera 2030, khususnya Flagship 9: Program Mesra Pelabur yang menekankan usaha mewujudkan persekitaran perniagaan yang telus, tangkas dan mesra pelabur.
“PKNPk mahu memastikan industri di Perak dilengkapi dengan pengetahuan serta alat yang tepat agar mereka dapat menyumbang secara berkesan kepada pertumbuhan ekonomi negeri. PKNPk kekal komited untuk menjadi penghubung strategik antara kerajaan dan sektor swasta, bagi memastikan industri tempatan terus berkembang secara berdaya saing, mematuhi dasar dengan bijak, dan memberikan sumbangan yang mampan kepada ekonomi Perak,” kata Datuk Redza sebagai penutup.
Dengan lima lagi siri dirancang menjelang hujung tahun ini, PKNPk terus mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin pembangunan industri dan pemudah cara dasar di peringkat negeri.
