Ipoh, Mei 2, 2024 – Seiring dengan aspirasi negeri Perak untuk memperkukuhkan manfaat sosio-ekonomi rakyat melalui peningkatan kerancakan pemasangan infrastruktur utiliti serta menerusi hasil sumbangan kepada kerajaan Negeri, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad telah menyempurnakan majlis pelancaran syarikat Koridor Utiliti Darul Ridzuan Sdn. Bhd. (KUDR) pagi ini.

Hadir bersama adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, YB Dato' Seri Ir. Haji Mohamad Nizar bin Jamaluddin; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Yang Berhormat Puan Sandrea Ng; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), YBrs. Puan Halizah binti Sipun; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), YBhg. Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif KUDR YBrs. Encik Adham Nasri bin Mohamad.

KUDR adalah sebuah anak syarikat PKNPk yang telah diberi mandat sebagai agensi penyelaras koridor utiliti negeri yang berperanan sebagai agensi sehenti bagi mengurus prosedur permohonan, pembangunan, penyelenggaraan dan pengalihan utiliti di jalan raya sedia ada (Brownfield) dan jalan raya baru (Greenfield).

KUDR bertanggungjawab untuk mengendalikan semua proses berhubung pembangunan infrastruktur utiliti dari permohonan permit hingga ke penyediaan pelan pemetaan utiliti, pelan kawalan trafik dan juga pelan siap bina. Melalui peranan khusus tersebut, pengumpulan dan pengemaskinian data utiliti dapat dilakukan secara lebih tepat, konsisten, lengkap dan terkini. Matlamat inisiatif ini adalah pemasangan infrastruktur utiliti yang lebih terancang, terkawal dan bersistematik bagi keseluruhan negeri Perak.

YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak, merangkap Pengerusi PKNPk berkata, "Kerajaan Negeri amat menyokong inisiatif KUDR ini kerana ianya selari dengan sasaran Perak Sejahtera 2030 dari segi Kesejahteraan Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial. Dengan pelaksanaan KUDR, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Perak menerusi rantaian nilai infrastruktur utiliti negeri yang lebih teratur. Rakyat Perak juga akan dapat menikmati pembangunan yang lestari dan melalui pemasangan infrastruktur utiliti yang lebih terancang dan dipantau dengan berkesan."

Seiring dengan pelancaran KUDR, sistem KUDR Atas Talian (KUDRAT) juga telah diperkenalkan. Dengan slogan 'Transformasi Kolaborasi Koridor Utiliti'; KUDRAT adalah lebih dari sistem atas talian biasa dan akan mengubah lanskap tadbir urus pembangunan infrastruktur utiliti negeri Perak. Ini mencerminkan kepekaan KUDR terhadap kepentingan berkolaborasi dan keperluan kemajuan teknologi bagi menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh setiap pihak yang terkesan dalam industri utiliti, termasuk agensi Kerajaan.

Tambah YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad "KUDRAT akan menjadi komponen pelengkap bagi memacu 3 daripada 6 agenda utama Pelan Perak Sejahtera 2023, iaitu:

  1. Ekonomi Digital di mana KUDRAT akan berperanan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital di Perak melalui penyediaan platform digital yang memudahkan akses dan pengurusan data utiliti secara efisien.
  2. dalam aspek Pembuatan Keputusan Dipacu Data, KUDRAT akan menyediakan data yang tepat dan berkualiti tinggi untuk membantu dalam pembuatan keputusan yang lebih berkesan dan pantas.
  3. Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri; KUDRAT akan memainkan peranan dalam meningkatkan pengurusan projek-projek berkepentingan negeri dengan menyediakan platform untuk pemantauan dan pelaporan yang telus serta berkesan seterusnya meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek-projek tersebut."

Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Pegawai Eksekutif KUDR, Encik Adham Nasri bin Mohamad menyatakan bahawa, "KUDR komited untuk memudahcara dan memperkasakan tadbir urus permohonan permit di Negeri Perak. Kami percaya bahawa usaha inovatif perlu dipupuk dan dibangunkan secara berterusan bagi membuktikan komitmen kami dalam mencapai tahap perkhidmatan yang cekap dan berkesan."

"KUDRAT akan dibangunkan secara berfasa sehingga menjadi satu platform pengurusan utiliti bersepadu dan diintegrasi bersama Pangkalan Data Utiliti Negeri yang ditempatkan di bawah jagaan PerakGIS. Melalui KUDRAT, pembangunan dan naiktaraf fasiliti Kerajaan di Negeri Perak akan menjadi lebih efisien dan lancar dimana semua jabatan atau agensi kerajaan serta pemain industri terlibat akan mempunyai akses tertentu bagi menggunakan KUDRAT yang akan berfungsi sebagai sebuah platform inklusif dan kolaboratif dalam membuat keputusan berpacukan data."

"Dengan pemerkasaan tadbir urus infrastruktur utiliti, KUDR menjadi komponen penting dalam memenuhi sasaran Pelan Perak Sejahtera 2030 dari segi Kesejahteraan Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial melalui tawaran nilai dari segi ekonomi, pembangunan dan kesejahteraan. Peningkatan efisiensi dan keberkesanan proses tadbir urus permit akan menyumbang kepada kelancaran pemasangan infrastruktur utiliti dan infrastruktur ekonomi digital, yang seterusnya akan meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat. Pelaksanaan KUDR akan menyumbang hasil tanpa melibatkan sebarang kos kepada Kerajaan Negeri. Manakala dari segi pembangunan, pemasangan infrastruktur utiliti yang lebih terancang, terkawal, dan sistematik melalui pengumpulan data utiliti akan memastikan kelestarian pembangunan, meningkatkan kebolehlaksanaan projek pembangunan dan naik taraf, serta mengurangkan kos baik pulih jalan.Selain daripada itu, keselamatan dan kesejahteraan orang awam dapat ditingkatkan melalui tugas pemantauan yang dijalankan oleh KUDR untuk melindungi aset utiliti dan infrastruktur sedia ada, termasuk jalan, longkang, dan perabut jalan." tambah beliau lagi.

Sehingga kini, lebih dari 40 peluang pekerjaan telah diwujudkan dan 18 jurukur tanah berlesen tempatan telah diberi peluang perniagaan. Ini adalah jumlah maksimum jurukur tanah berlesen yang terdapat di Perak, yang menunjukkan komitmen KUDR untuk tidak mengabaikan jurukur tanah berlesen tempatan. Kesemua 18 jurukur tanah berlesen tempatan ini telah ditawarkan peluang perniagaan sebagai vendor pelan pemetaan utiliti.