Kuala Lumpur, 15 Mei 2024 – Perak bersedia untuk merencanakan masa depan yang lebih cerah dengan hasil penemuan daripada kajian kebolehlaksanaan Bandar Perindustrian Maritim Lumut atau Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), yang menilai keupayaan rantau ini untuk menjadi hab penting bagi sektor perindustrian maritim Malaysia. Cadangan pembangunan tersebut dijangka dimeterai selepas kajian kebolehlaksanaan selesai pada awal 2025. Kajian LuMIC ini dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Pelabuhan Antwerp-Bruges International (PoABI), dengan matlamat untuk menilai daya tarikan Perak dan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan maritim. Projek LuMIC dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan tempatan yang bermakna, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial di rantau ini.

Kejayaan menyempurnakan kajian kebolehlaksanaan fasa pertama dengan geran bernilai EUR1.9 juta (RM9.5 juta) daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 2023 merupakan sebahagian daripada usaha sama antara PKNPk dan PoABI untuk menilai prospek Perak dalam sektor pelaburan dan maritim, dan meningkatkan tahap keterhubungan antara Eropah dan Asia. Laporan tersebut dibentangkan oleh PoABI kepada pihak-pihak berkepentingan utama, termasuk wakil daripada Kementerian Persekutuan, kerajaan negeri Perak, dan juga peserta-peserta industri tempatan dan antarabangsa dalam sektor maritim, pelabuhan, logistik dan perindustrian.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuk Tuan Yang Terutama En. Peter Van Acker, Duta Belgium ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Ivan Velimir Starcevic, Duta Besar Republik Croatia ke Malaysia, Tuan yang Terutama En. Juraj Koudelka, Duta Besar Republik Czech ke Malaysia, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk dan En. Kristof Waterschoot, Pengarah Urusan PoABI, En. Daniel Hachez, Penasihat Menteri Kesatuan Eropah (EU), Ketua Kerjasama bagi Malaysia dan juga En. Oliver Roche, Pengerusi Eurocham Malaysia.

Laporan tersebut memberi tumpuan terhadap enam bidang utama, iaitu:

1. Metodologi

Metodologi kajian memanfaatkan kepakaran Malaysia dan rangkaian antarabangsa lembaga pelabuhan terkemuka Eropah, memastikan pendekatan yang mantap dan menyeluruh. Kedua-dua PKNPk dan POABI, merupakan pihak berkuasa awam yang berpengalaman, akan membangunkan infrastruktur untuk menarik pelaburan dan menjana nilai bagi masyarakat. Satu komponen penting metodologi adalah penubuhan Syarikat Pembangunan Kluster Pelaburan (PCDC) untuk memantau projek, dengan penglibatan penting POABI, bagi menjamin kelancaran komunikasi antara perancangan dan pelaksanaan operasi.

2. Keterhubungan

Kajian ini mengenal pasti peluang untuk meningkatkan kecekapan pelabuhan Lumut dan mengubahnya menjadi sebuah hab logistik hijau, memanfaatkan lokasi strategik dan pelaburan Malaysia dalam infrastruktur pengangkutan di sepanjang Selat Melaka.

3. Pelaburan Langsung Asing (FDI)

Potensi FDI Malaysia daripada EU dalam sektor lestari membuka peluang bagi pertumbuhan ekonomi, dengan tumpuan terhadap pengangkutan lestari, tenaga hijau, inovasi dan perubahan daripada sektor huluan kepada industri pertengahan dan hiliran.

4. Perdagangan dan Kargo

Analisis aliran perdagangan dan kargo di rantau ASEAN, khususnya antara Malaysia dan EU, menjadi asas unjuran pertumbuhan masa depan dan tahap kebergantungan dalam rantaian bekalan EU.

5. Tadbir Urus

Menanda aras terhadap amalan terbaik antarabangsa, kajian ini menilai rangka kerja peraturan dan institusi dalam sektor pengangkutan dan pelabuhan, mengenal pasti peluang bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan.

6. Peta Hala Tuju

Berasaskan hasil kajian terdahulu, PKNPk dan PoABI akan melaksanakan inisiatif yang menepati matlamat EU-Global Gateway. Inisiatif ini melibatkan usaha bagi mendapatkan hasil penemuan penting daripada kajian terdahulu, menilai tahap keterhubungan, menentukan daya saing FDI, menganalisis aliran perdagangan dan kargo, dan mengkaji rangka kerja kerajaan dan institusi.

YB Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, yang mewakili Menteri Besar Perak, berkata, "Sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, kami bertekad untuk menggandakan usaha yang positif kepada negeri Perak, yang seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dengan membuka peluang pekerjaan, meluaskan capaian pasaran global, dan meningkatkan tahap keterhubungan. Kerajaan Negeri Perak memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk menjamin kejayaan pembangunan projek LuMIC."

Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk, menekankan betapa pentingnya kerjasama dengan PoABI dalam mencorakkan industri maritim Lumut. "Data daripada kajian kebolehlaksanaan memperlihatkan potensi Perak seperti yang dikenal pasti sejak dari mula lagi oleh PoABI. Kami berhasrat untuk merangka sebuah peta hala tuju komprehensif di samping membina sebuah kawasan perindustrian maritim yang lestari," ujar beliau.

Dalam ucapannya, Duta Besar Belgium ke Malaysia, Tuan Yang Terutama En. Peter Van Acker, berkata, "Berdasarkan tahap keterhubungan yang lebih tinggi antara Eropah dan Asia, LuMIC memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada kerjasama antarabangsa di rantau ini. Usaha ini disokong oleh kerjasama jangka panjang antara negara-negara kami dan komitmen bersama untuk memupuk pembangunan yang lestari dan menghasilkan kesan positif."

Pengarah Urusan PoABI En. Kristof Waterschoot menambah, "Hasil penemuan kajian memberikan maklumat yang penting dan mengukuhkan keyakinan kami terhadap Lumut, Perak dan Malaysia. Pemilihan Perak adalah berasaskan lokasi strategiknya di Selat Melaka, menawarkan tahap keterhubungan yang sangat baik ke pasaran-pasaran utama di Asia dan Eropah,ini sejajar dengan matlamat kami dalam membina sebuah hab logistik hijau dan memanfaatkan infrastruktur pengangkutan yang kukuh di Malaysia. Usaha mengumpulkan fakta dan membuat analisis menerusi kajian kebolehlaksanaan amat penting untuk membolehkan kami menggariskan rangka kerja yang memenuhi aspirasi Perak sebagai pusat pengangkutan maritim. Kami berhasrat untuk memanfaatkan ilmu teknikal bagi membangunkan pusat-pusat yang setaraf di Eropah, Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat dan Singapura. Tadbir urus dan kelestarian terus menjadi daya pemacu dalam usaha sama dengan PKNPk untuk membangunkan rangka tindakan masa depan."

Kajian kebolehlaksanaan fasa pertama telah dikendalikan dalam tempoh lapan bulan, iaitu dari Julai 2023 hingga Februari 2024. Dalam kajian tersebut, PoABI menyediakan kepakaran antarabangsa, menguruskan projek dan bertanggungjawab ke atas hasil penemuan dan laporan, manakala PKNPk menyumbang maklumat tempatan yang penting dan berhubung dengan pihak-pihak berkepentingan.

Tempoh akan datang, Fasa 2 kajian kebolehlaksanaan akan memberi tumpuan terhadap pembangunan penilaian tenaga hijau, merumuskan pelan induk dan pelan perniagaan.

Penilaian tenaga hijau, yang dimulakan pada Mac 2024, sedang dijalankan pada masa ini dan dijangka selesai menjelang Disember 2024 sebagai sebahagian daripada kajian pelan induk yang lengkap.

Usai penyelesaian fasa kedua kajian kebolehlaksanaan, langkah seterusnya melibatkan aspek perancangan pembangunan, hal ehwal tanah, pertukaran, pembahagian, penggabungan dan pemerolehan tanah serta perkhidmatan rundingan. Apabila kajian kebolehlaksanaan selesai, LuMIC Development Sdn Bhd (LuMIC DevCo) akan melaksanakan pelan induk. Entiti ini ditubuhkan pada Disember 2023, merupakan usaha sama antara PKNPk dan PoABI untuk membangunkan dan menguruskan LuMIC secara bersepadu. Berkat sokongan pakar antarabangsa dan tempatan, Lumut bakal memenuhi potensinya sebagai sebuah kuasa maritim perindustrian baharu Malaysia.