Ipoh, 03 May 2025 - Majuperak Holdings Berhad (MHB), anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), hari ini secara rasmi melancarkan projek perumahan terbaharu mereka, Taman Tasik Ardea, sebuah komuniti kediaman yang dirancang dengan teliti di Mukim Sungai Terap, Batu Gajah.

Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, yang turut menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri dalam merealisasikan aspirasi pemilikan rumah mampu milik bagi rakyat menerusi Program Flagship Perumahan Sejahtera di bawah kerangka Pelan Perak Sejahtera 2030.

Projek ini dibangunkan di atas tanah milik anak syarikat PKNPk iaitu Syarikat Majuperak Berhad (SMB), dan mencerminkan strategi jangka panjang kerajaan negeri dalam memperkasa akses kepada perumahan berkualiti untuk golongan sasar.

Dengan keluasan keseluruhan 114 ekar, Taman Tasik Ardea menawarkan rumah jenis teres setingkat, direka khas bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, keluarga muda dan mereka yang mendambakan suasana kediaman yang tenang dan dikelilingi kehijauan semula jadi. Harga jualan rumah bermula daripada RM250,000 untuk unit Rumah Perakku 3, termasuk unit Open Unit yang juga dibuka kepada pembeli bukan bumiputera.

Menurut Encik Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak Holdings Berhad,

“Taman Tasik Ardea adalah bukti nyata bahawa MHB kekal fokus dalam menyampaikan pembangunan yang bukan sahaja mengutamakan nilai komersial, tetapi juga membawa impak sosial yang besar kepada komuniti setempat. Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM141 juta, projek ini terdiri daripada 601 unit kediaman yang akan dibangunkan dalam tiga fasa — Fasa 1 (161 unit), Fasa 2 (264 unit), dan Fasa 3 (176 unit). Kami menjangkakan keseluruhan pembangunan ini siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2026. Lebih penting, setiap unit direka dengan pertimbangan teliti terhadap keperluan harian, gaya hidup masa kini dan kemampuan kewangan rakyat.”

YAB Menteri Besar pula berkata:

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap penyediaan perumahan mampu milik dan berkualiti, dan Taman Tasik Ardea merupakan salah satu manifestasi nyata usaha ini. Ia bukan sekadar projek fizikal tetapi satu pelaburan jangka panjang dalam membina kehidupan yang lebih stabil dan bermaruah buat rakyat. Kami yakin, melalui projek seperti ini, hasrat untuk melihat lebih ramai rakyat Perak memiliki rumah sendiri dapat direalisasikan, khususnya dalam kalangan golongan B40 dan M40. Malah, ia juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat dan pembangunan mampan wilayah Batu Gajah.”

Turut hadir memberikan sokongan padu ialah Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak, Pengerusi Eksekutif Majuperak Holdings Berhad merangkap Ketua Eksekutif PKNPk, yang berkata:

“Projek ini mencerminkan strategi kami untuk mengoptimumkan aset negeri dan menjadikan pembangunan hartanah sebagai instrumen menjana kesejahteraan rakyat. Taman Tasik Ardea merupakan hasil daripada pendekatan bersepadu antara dasar pembangunan negeri dan komitmen sektor swasta. Di bawah Majuperak, kami tidak hanya membina rumah – kami membina komuniti yang berdaya tahan dan berkualiti tinggi, dengan fokus kepada integrasi sosial, kemudahan awam, dan kelestarian alam sekitar.”

Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat yang terdiri daripada YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat undang-Undang Negeri Perak; YB Dato' Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri Perak; YB Puan Sandrea Ng Shy Ching, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak; YBhg. Dato' Mohamad Fariz bin Mohamad Hanip; Tuan Zulhisham bin Ahmad Shukori, Pegawai Daerah Kinta dan Tuan Mohamad Razif bin Ramli, Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah.

Selesai acara pelancaran, para tetamu kehormat termasuk wakil agensi kerajaan, media dan bakal pembeli turut dibawa melawat rumah contoh (show unit) yang telah siap dibina. Lawatan ini memberikan gambaran jelas tentang reka bentuk dalaman, susun atur praktikal, dan persekitaran kediaman yang ditawarkan — sekaligus meningkatkan keyakinan terhadap mutu dan komitmen Majuperak dalam menyediakan rumah idaman yang mampu milik untuk rakyat Perak.

Untuk maklumat lanjut mengenai Taman Tasik Ardea atau berminat untuk mendaftar, sila hubungi [Pejabat Korporat Majuperak Holdings Berhad : 05 2262 888].