Ipoh, 02 May 2025 - 1. Perjanjian kerjasama strategik yang dimeterai pada hari ini antara antara Casuarina Meru Sdn. Bhd. (CMSB), anak syarikat milik penuh Perak Corporation Berhad di bawah naungan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan fasiliti pengecas kenderaan elektrik (EV) di Hotel Casuarina@Meru menandakan satu lagi inisiatif berimpak tinggi ke arah pembangunan negeri Perak yang lebih mampan dan berdaya saing.

2. Ia menunjukkan penglibatan aktif sektor awam dan swasta dalam mendukung pelaksanaan infrastruktur mobiliti rendah karbon selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 khasnya di bawah Flagship 12 – Sumber Air dan Tenaga Boleh Diperbaharui.

3. Kerajaan Negeri melihat inisiatif seperti ini sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor teknologi bersih, pelaburan yang mampan serta penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan Negeri Perak.

4. Perak telah menetapkan sasaran 500 stesen pengecas EV, dan sehingga hari ini telah berjaya menyediakan 149 petak pengecas di 56 lokasi strategik, termasuk di bandar, lebuh raya dan destinasi pelancongan utama.

5. Peranan aktif TNB dalam menerajui teknologi tenaga bersih serta komitmen Casuarina Meru sebagai institusi hospitaliti milik kerajaan negeri jelas menunjukkan bahawa sinergi rentas sektor mampu menghasilkan impak nyata terhadap kelestarian alam dan pembangunan ekonomi negeri.

6. Majlis hari ini bukan sekadar simbolik, bahkan memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam mengorak langkah ke arah pembangunan berteraskan kelestarian.

7. Ia memberi kesan positif kepada rakyat untuk menikmati fasiliti EV yang terkini di samping menaikkan daya tarikan Perak sebagai destinasi pilihan pelancong.

8. Saya yakin projek ini bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan lebih banyak stesen pengecas EV di seluruh negeri, bukan sahaja di hotel dan pusat pelancongan, tetapi juga di kawasan luar bandar, destinasi eko-pelancongan dan pusat komersial yang sedang berkembang.

9. Besar harapan saya agar kerjasama ini akan membuahkan hasil yang memberi manfaat besar kepada rakyat Perak, dan menjadi sebahagian daripada perjalanan negeri ini menuju masa depan yang lebih hijau, lestari dan sejahtera.

10. Semoga usaha hari ini menjadi asas kukuh bagi Perak sebagai antara negeri peneraju dalam pembangunan mampan dan teknologi hijau di Malaysia.

YAB DATO’ SERI SAARANI MOHAMAD

Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

2 Mei 2025