Kuala Lumpur, 30 Apr 2025 - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) melakar satu lagi pencapaian penting dalam agenda tadbir urus korporatnya menerusi pemeteraian dua perjanjian strategik bersama SIRIM Academy Sdn Bhd dan SIRIM QAS International Sdn Bhd, dalam satu majlis yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian ini menyaksikan Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, menandatangani perjanjian konsultansi bersama Encik Nik Sazali Nik Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Academy Sdn Bhd, serta perjanjian perkhidmatan pensijilan ISO 37001:2016 (Anti-Bribery Management System – ABMS) bersama Encik Ts. Md Adha Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn Bhd. Majlis turut disaksikan oleh YBhg. Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar Mohamad Tawi, Pengerusi SIRIM Berhad.

Kerjasama ini melambangkan iltizam PKNPk dalam memperkukuh budaya integriti dan ketelusan melalui pelaksanaan sistem pengurusan antirasuah berasaskan standard antarabangsa – ISO 37001:2016. Usaha ini sejajar dengan komitmen kerajaan dalam menjayakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP 2024–2028) serta memastikan setiap urus tadbir dilaksanakan secara berakauntabiliti dan beretika.

“Langkah ini bukan hanya simbolik, malah mencerminkan komitmen tegas kami dalam membina sebuah organisasi yang bebas rasuah dan berdaya tahan dari segi integriti. Di samping itu, dengan memupuk budaya integriti dan amalan tadbir urus terbaik ianya memperkukuh sistem pengurusan dalaman PKNPk dengan kawalan yang efektif bagi mencegah rasuah. Kami percaya pensijilan ini akan memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan terhadap peranan PKNPk sebagai pemacu pembangunan negeri Perak,” ujar Datuk Redza Rafiq.

Pemakaian ABMS ISO 37001:2016 merupakan fasa lanjutan yang lebih strategik dan menyeluruh – di mana ia memberi tumpuan kepada pembangunan struktur, proses, dan budaya kerja yang mampu mencegah risiko rasuah dari peringkat akar umbi hingga ke pengurusan tertinggi. Melalui bimbingan SIRIM Academy, PKNPk akan menjalani proses penilaian risiko, pelaksanaan dasar serta latihan khusus kepada warga kerja. Manakala SIRIM QAS International akan melaksanakan audit sistematik untuk menilai keberkesanan sistem dan memberikan pengiktirafan rasmi berasaskan piawaian antarabangsa.

Langkah PKNPk ini turut diiktiraf sebagai pencetus transformasi dalam ekosistem pentadbiran agensi kerajaan negeri. Pemakaian ABMS secara tersusun di PKNPk diyakini mampu menjadi penanda aras kepada agensi pembangunan negeri lain, dalam menjadikan budaya integriti sebagai keutamaan pengurusan.

Datuk Ir. (Dr) Khairol Anuar Mohamad Tawi menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh PKNPk kepada SIRIM dan menyifatkan kerjasama ini sebagai bukti peranan SIRIM dalam menyokong pemerkasaan tadbir urus di sektor awam.

“SIRIM bukan hanya rakan teknologi dan inovasi industri, tetapi juga rakan strategik dalam memacu agenda nasional. Melalui pensijilan ini, kami berharap dapat membantu PKNPk melonjakkan tahap kecekapan urus tadbir serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Negeri Perak sebagai destinasi pelaburan yang progresif dan berintegriti,” jelas beliau.

Sejak tahun 2024, PKNPk telah giat melaksanakan pelbagai inisiatif pemantapan integriti termasuk pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan penggubalan polisi-polisi pencegahan rasuah. Pelaksanaan ABMS dilihat sebagai kesinambungan strategik dalam memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat yang berintegriti, bebas penyelewengan serta telus kepada semua pihak berkepentingan.

Inisiatif ini sekali gus menandakan langkah progresif PKNPk dalam mendukung prinsip kebertanggungjawaban serta menjadi contoh kepada agensi pembangunan negeri lain dalam menjayakan reformasi tadbir urus sektor awam dan korporat.