Gerik, 29 Apr 2025 - Sebanyak 50 keluarga asnaf di Kampung Bersia Lama disantuni menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hasil kerjasama strategik antara TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh pembangunan komuniti dan tenaga boleh diperbaharui di Hulu Perak.

Program yang dinamakan Lestari Komuniti Perak ini bukan sahaja menjanjikan limpahan manfaat kepada masyarakat sekitar kawasan Tasik Temenggor dan Chenderoh, malah menyokong agenda nasional ke arah tenaga bersih dan mampan.

Inisiatif ini adalah susulan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB Genco dan Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2023 bagi meneroka potensi pembangunan loji Hibrid Hidro Solar Terapung (HHFS) di kawasan tadahan air dan tasik di Hulu Perak. Sistem HHFS ini menggabungkan teknologi hidroelektrik dan solar terapung – masing-masing berupaya menjana tenaga sehingga 400MW dan 70MW – sekaligus menyumbang kepada matlamat pelan hala tuju NETR (National Energy Transition Roadmap) untuk mencapai 70% tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2050.

Lebih penting, pelaksanaan projek ini dijangka membuka peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat dan menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui penyertaan aktif komuniti setempat.

Menurut Dato’ Ir. Muhamad Nazri bin Pazil, Pengarah Urusan TNB Genco:

“Program CSR ini bukan sekadar menyantuni komuniti, tetapi turut memperkukuh reputasi korporat dan hubungan bersama pihak berkepentingan. Kita percaya, apabila syarikat dan masyarakat bekerjasama, pembangunan sosioekonomi akan menjadi lebih seimbang dan mampan.”

Tambah beliau, inisiatif sebegini menjadi pelantar kepada lebih banyak kerjasama dalam aspek tenaga hijau, pendidikan komuniti, dan pembangunan masyarakat luar bandar secara menyeluruh.

Sementara itu, Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk berkata:

“Agenda Teknologi Hijau Perak Sejahtera 2030 adalah tonggak utama transisi negeri ke arah tenaga bersih. Negeri Perak berpotensi menjadi hab tenaga solar terapung yang menyumbang sehingga 5.2 gigawatt (GW) kepada grid nasional.”

“Kerjasama ini adalah permulaan kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan sosial dan ekonomi di perkampungan Melayu dan Orang Asli sekitar Tasik Temenggor dan Chenderoh. Ia bukan sekadar projek sehari dua, tetapi komitmen jangka panjang untuk membina masyarakat yang inklusif, berdaya tahan dan harmoni dengan alam sekitar.”

Tambah Dato‘Ir Nazri, “Kerjasama program CSR bersama PKNPk merupakan inisiatif permulaan kepada lebih banyak kerjasama dengan badan berkepentingan dan masyarakat. Sudah tentunya banyak program dan aktiviti diperhebatkan yang melibatkan tenaga hijau, pemerkasaan komuniti, atau pembangunan ekonomi tempatan.”

Datuk Redza Rafiq Bin Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk berkata, “Agenda Teknologi Hijau Perak Sejahtera 2030 merupakan inisiatif strategik negeri dalam mempercepatkan transisi tenaga bersih dalam mencapai matlamat pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat. Negeri Perak berpotensi menjadi hab utama bagi pembangunan loji jana kuasa solar terapung, sekali gus menyumbang kepada penjanaan sehingga 5.2 gigawatt (GW) tenaga di Semenanjung Malaysia. Kelebihan ini telah menjurus kepada kerjasama TNB dan Kerajaan Negeri Perak di mana kedua-duanya telah memeterai perjanjian Persefahaman (MoU) untuk meneroka potensi pembangunan HHFS di kawasan tadahan air, sungai dan tasik khususnya di daerah Hulu Perak. Melalui pembangunan ini dijangka memberi sumbangan positif kepada ekonomi penduduk tempatan. Ianya dijangka mencipta peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi serantau melalui kemajuan pembangunan tenaga boleh diperbaharui”.

Beliau menambah, “Kerjasama Program CSR TNB Genco – PKNPk ini merupakan komitmen dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan, mewujudkan nilai kebersamaan dengan pelbagai peringkat masyarakat bagi meningkatkan kualiti kehidupan. Kedua-dua pihak merancang beberapa program kemasyarakatan, pembelajaran, sukan dan budaya di lokasi Tasik Temenggor dan Chenderoh yang melibatkan perkampungan asli dan perkampungan melayu di kawasan tersebut. Program ini akan menjadi landasan kepada pelaksanaan lebih banyak projek yang memanfaatkan teknologi hijau dan memberi impak positif kepada masyarakat di masa hadapan. Ia merupakan cerminan komitmen jangka panjang kita untuk membina masyarakat yang utuh (resilient,) inklusif, dan harmonis dengan alam sekitar”.

Terdahulu program Lestari Komuniti Perak telah mengadakan perlawanan persahabatan bersama komuniti Orang Asli di Pos Kemar, pada 28 April 2025. Pada hari berikutnya lawatan ziarah kasih dan sumbangan kepada 50 asnaf telah diadakan di Masjid al Haruniah di Kampung Bersia Lama. Pihak TNB Genco turut menyumbang sebanyak RM3,000 ringgit kepada pihak masjid.