Kuala Lumpur, 10 April 2025 - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) mengesahkan bahawa rundingan strategik bagi Projek Air Perak–Pulau Pinang kini memasuki fasa penting susulan kesediaan Kerajaan Negeri Perak untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang. Projek rentas negeri ini yang telah mula dirintis pada tahun 2023, kini diperkukuhkan lagi dengan perkembangan semasa, termasuk sokongan kewangan awal oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM4 bilion.
Perkembangan tersebut diumumkan selepas lawatan rasmi delegasi Konsortium PKNPk–Gamuda Berhad ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pada 4 Julai 2025. Lawatan itu diketuai oleh Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, bersama barisan pimpinan kanan industri dan agensi berkaitan. Delegasi tersebut menyampaikan mandat rasmi daripada Kerajaan Negeri Perak untuk memimpin pelaksanaan teknikal dan komersial projek ini.
Menurut Datuk Redza Rafiq, projek ini bukan sekadar memenuhi keperluan Pulau Pinang, tetapi turut memberi impak besar kepada Perak sendiri.
“PKNPk komited untuk menyelesaikan isu-isu bekalan air dan memastikan keselamatan air kepada seluruh rakyat Perak menjelang tahun 2029. Dengan pertambahan penduduk dan peluasan sektor perindustrian, projek ini penting untuk menampung permintaan air yang semakin meningkat, serta memperkukuh pembangunan di kawasan utara negeri seperti Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan sektor pertanian,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa projek ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Flagship 12: Sumber Air dan Tenaga Boleh Diperbaharui di bawah Perak Sejahtera 2030, dan mencerminkan komitmen negeri ke arah pembangunan mampan serta pemuliharaan sumber asli.
Peruntukan awal RM4 bilion yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 15 Jun 2024 lalu untuk projek pengagihan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah turut meliputi pembinaan sistem saluran paip utama merentas sempadan dan infrastruktur sokongan. Menurut kenyataan rasmi Pejabat Menteri Besar Perak, projek ini dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna domestik dan industri, tetapi juga menjamin keperluan pengairan pertanian di utara negeri secara berterusan dan berdaya tahan.
Kerjasama antara Perak dan Pulau Pinang ini akan dimuktamadkan melalui rundingan rasmi sebaik sahaja Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang melantik pasukan rundingannya. Bekalan air akan disalurkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebagai penerima utama, manakala Gamuda Berhad bertindak sebagai rakan teknikal konsortium.
Antara tokoh yang hadir dalam mesyuarat termasuk Datuk Azmi Mat Nor (Pengarah Eksekutif Kumpulan Gamuda Berhad), Datuk Szeto Wai Loong (Pengarah Gamuda Engineering Berhad), Datuk Seri Ooi Eng Hock (Penasihat SRS Consortium Sdn Bhd), Faris Yusof (Pengarah Eksekutif Gamuda Engineering Berhad), dan Datuk K. Pathmanathan (Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP).
Projek Air Perak–Pulau Pinang ini dijangka menjadi antara pelaburan infrastruktur air terbesar di Malaysia dalam dekad ini, bukan sahaja dari segi nilai, tetapi juga dari segi kepentingannya kepada daya tahan iklim, keselamatan sumber air negara, dan pertumbuhan ekonomi wilayah utara Semenanjung.
