Ipoh, 1 March 2025 – Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) memeriahkan tradisi sambutan Ramadan al-Kareem melalui penganjuran Bazar Ramadan yang menyajikan kepelbagaian citarasa makanan tradisi dan viral di bandaraya Ipoh. Penganjuran tahun ketiga sejak tahun 2023 telah memperlihatkan penambahan lot perniagaan daripada 100 lot kepada 121 lot pada tahun ini. Terkenal dengan jolokan Bazar Ramadan Terpanjang di Perak, ia dijangkakan akan menerima pengunjung seramai 120,000 orang berbanding 70,000 pada tahun 2024.

Menurut Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), "Bazar Ramadan @ BSAS menawarkan platform penting bagi para usahawan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan, khususnya sepanjang bulan Ramadan. Keputusan untuk meningkatkan bilangan lot di bazar mencerminkan komitmen PKNPk dalam menyokong pertumbuhan PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi tempatan. Langkah ini selari dengan matlamat Perak Sejahtera 2030 yang bertujuan memperkasakan PKS dan mencipta peluang ekonomi yang inklusif bagi semua rakyat Perak.

Selain itu, Bazar Ramadan @ BSAS juga berfungsi sebagai pusat komuniti bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian sosial. Ianya bukan sekadar tempat untuk berbelanja tetapi juga mampu menjadi ruang bagi penduduk tempatan untuk berkumpul, berinteraksi dan meraikan bulan Ramadan bersama-sama. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di Bazar Ramadan @ BSAS ini tidak hanya menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat di Perak, tetapi juga mampu mengeratkan silaturrahim dalam komuniti."

"Dalam tempoh 3 minggu, kesemua 121 lot di Bazar Ramadan @ BSAS iaitu lot silver dan gold habis ditempah, Kedua-dua lot ini menjadi rebutan dalam kalangan peniaga kerana ianya menawarkan pengalaman berbeza pada tahun ini. Berbeza dengan tahun 2024, peniaga yang mengambil pakej Gold dibenarkan untuk meletakkan kerusi dan meja untuk pelanggan menikmati juadah berbuka puasa di situ. Masa operasi bazar pada kali ini dipanjangkan bermula pada jam 4.00 petang hingga 12.30 tengah malam".

Menyentuh mengenai kemudahan di BSAS, Datuk Redza berkata, "PKNPk amat peka dengan isu yang dibangkitkan oleh para pengunjung pada tahun lepas iaitu kesesakan lalu lintas dan bilangan parkir kenderaan. Pada tahun ini, pihak PKNPk telah menyediakan parkir kenderaan tambahan sebanyak 500 lot yang terletak bersebelahan Menara A dan Menara B PKNPk, serta sekitar Rumah Tradisional Melayu. Bagi memastikan kelancaran lalu lintas, PKNPk turut melantik RELA sepanjang Bazar Ramadan ini berlangsung. Bagi pengunjung yang meletakkan kenderaan di BSAS, caj RM1 dikenakan pada hari biasa dan RM2 pada hujung minggu. PKNPk turut melaksanakan langkah pro aktif dengan menambak laluan berbatu dengan bahan quarry dust bagi memperkemaskan laluan pejalan kaki agar lebih lapang dan selesa. Kemudahan surau dan tempat wuduk yang selesa bagi lelaki dan wanita turut disediakan yang boleh memuatkan sebanyak 40 jemaah dalam satu-satu masa".

Tambah Datuk Redza mengenai komitmen PKNPk dalam penyediaan kemudahan infrastruktur yang baik, beliau berkata, "Pihak PKNPk telah memperuntukkan sebanyak RM970 ribu bagi memasang 75 unit lampu solar di BSAS melalui anak syarikatnya PIRSB Sdn Bhd. Ini membolehkan para pengunjung berbuka puasa bersama keluarga sambil menikmati panorama Banjaran Titiwangsa dan Kledang Saiong. Bersempena sambutan bulan Ramadan PKNPk merancang untuk menganjurkan Solat Terawih Mega. Pihak PKNPk sedang berbincang dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perak berkaitan prosedur dan tatacara penganjuran program ini. Dijangkakan seramai 1000 orang akan bersama-sama menunaikan Solat Terawih Mega tersebut. Maklumat lanjut akan dikongsi melalui laman sosial rasmi BSAS di TikTok @bulatansultanazlanshah.

Bazar Ramadan sepanjang 500 meter ini bakal diwarnai dengan citarasa menu dan juadah popular seperti Peknga Ubi by Zul Yahya, Ayam Goreng Furaido, Nasi Padang Tok Abi, Nasi Kaomok Ori Thai, Nasi Ayam taugeh Las Vegas dan sebagainya. PKNPk menjangkakan ramai pengunjung akan berkunjung di Bazar Ramadan pada kali ini. Oleh itu, kami juga turut memastikan kebersihan makanan diutamakan dan pemilihan peniaga turut diberi perhatian rapi agar kepelbagaian dan kualiti juadah terjamin."

Puan Nora Sakira binti Jaafar, pengusaha Nasi Ayam Las Vegas yang terkenal di Ipoh berkata, "Saya telah beberapa kali berniaga di Bazar Ramadan BSAS. Ia menjadi ruang bagi saya menambah pendapatan serta mempromosikan produk nasi ayam taugeh yang mula dikenali dalam kalangan pengunjung. Alhamdullah, saya mengucapkan terima kasih kepada PKNPk yang sentiasa memberi sokongan dan publisiti yang baik dalam menjadikan bazar ramadan BSAS antara yang terbaik di negeri Perak."

Pengusaha Nasi Padang Tok Abi, Encik Yus Shariman berkata, "Saya memilih lokasi di sini kerana ia sangat strategik dan sentiasa dikunjungi oleh orang ramai. Konsep membeli juadah kemudian berbuka dan berpiknik di padang merupakan tarikan yang unik dan menarik. Malah konsep yang begitu santai ini turut memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung kerana tidak perlu terburu-buru pulang ke rumah untuk menghidangkan juadah berbuka".

Manakala Puan Nurliana binti Darus daripada Padang, Perlis berkata. "Ini merupakan kali pertama saya membuka gerai di luar Perlis. Saya memilih lokasi di BSAS kerana penganjur mempunyai strategi promosi dan pemasaran yang baik dan sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada para peniaga. Menu saya akan ketengahkan di BSAS ini adalah Lokcing, Tongmo dan Ayam Susu. Saya berharap ia bakal mendapat sambutan daripada warga di sekitar Ipoh".

Sementara itu, aktiviti dan permainan seperti paddlers, go-kart dan soopa doopa akan beroperasi seperti biasa di sepanjang bulan Ramadan. Bagi penggemar kopi, Bean Here Coffee – jenama kopi keluaran tempatan di bawah kumpulan PKNPk turut beroperasi di BSAS sepanjang bulan Ramadan ini.