Lumut, 4 Mac 2024 – Kerajaan Negeri Perak menerusi Lumut Port kini bersedia untuk meneruskan langkah pembangunan Pelabuhan Lumut melalui projek LMT 2. Projek LMT 2 ini diyakini bakal menjadi kunci pemangkin dalam memperluaskan potensi Lumut sebagai Pengendali Terminal Kargo Pukal yang paling efisien di Asia Tenggara, sekaligus menyumbang kepada nilai-nilai impak yang mendukung pertumbuhan negeri menuju pembangunan yang mapan dalam sektor industri Pelabuhan dan Logistik di Perak.

Terletak di Batu Undan, Segari, Lumut Port telah memperuntukkan sejumlah RM282 juta bagi Perancangan Perniagaan Strategik (BSP) 10 tahun bermula pada tahun 2016 hingga tahun 2026 untuk Pembangunan Terminal Baru Lumut Maritime Terminal 2 (LMT 2).

Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Saarani, berkata, "Inisiatif pembangunan LMT 2 merupakan satu langkah penting dalam komitmen Kerajaan Negeri untuk mencapai aspirasi Perak Sejahtera 2030. Pembangunan LMT 2 turut mendapat Insentif Galakan Cukai (NTax) oleh Kementerian Kewangan (MOF) melalui NCER, sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri, terutamanya melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), untuk menarik pelabur tempatan dan antarabangsa yang ternama dan besar sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri Perak dalam memacu Agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah flagship 9 – Program Mesra Pelabur yang telah menunjukkan kemajuan yang signifikan setelah hampir 3 tahun dilancarkan."

"Pembangunan LMT2 dijangka akan dapat meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti dalam pengendalian mineral pukal bagi memenuhi permintaan global yang tinggi. Selain itu, ia akan turut merangsang pertumbuhan industri hiliran berasaskan mineral, yang menjadi aspek penting dalam pelan ekonomi jangka panjang negeri Perak. Perancangan dan pembinaan LMT 2 juga memberi penekanan kepada pemeliharaan kualiti alam sekitar, sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan penggunaan sumber mineral dan alam semula jadi diuruskan mengikut piawaian yang ditetapkan. Melalui pembangunan terminal ini, dijangkakan lebih kurang 500 peluang pekerjaan akan tercipta, serta membuka rangkaian operasi pembekal dan perniagaan dalam industri maritim apabila LMT2 beroperasi."

"Matlamat kita adalah untuk menjadikan Lumut Port sebagai Pengendali Terminal Kargo Paling Cekap di Asia Tenggara selaras dengan inisiatif Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), yang bertujuan untuk memacu dan menggalakkan pertumbuhan di Perak dan kawasan utara. Inisiatif ini diterajui oleh pelaburan baharu dari sektor swasta, insentif zon ekonomi khas, dan kerjasama yang erat antara industri dan institusi akademik. LuMIC akan menjadi sebuah kawasan bandar pelabuhan yang moden dan mampan, dan dengan transformasinya, ia akan merangsang pemindahan dan mobiliti penduduk." tambah Dato' Seri Saarani.

Dato' Azian Bin Osman, Pengerusi Lumut Port, turut berkata "Terminal LMT 2 adalah bukti komitmen Lumut Port dalam memudahkan perdagangan global, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memupuk kerjasama antarabangsa. Terminal ini akan menjadi pusat inovasi dan kemakmuran ekonomi yang bakal diperkemas dengan teknologi terkini, sistem logistik yang efisien, dan amalan pemeliharaan alam sekitar yang mampan."

"Kita sentiasa mendukung hasrat Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Agenda Perak Sejahtera 2030 di bawah Flagship 13 – untuk menjadikan negeri Perak sebagai sebuah Hab Maritim dan Pelabuhan Nusantara." tambah beliau lagi.

Dato' Haji Mubarak Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Port, menjelaskan bahawa "Pembangunan LMT 2 dibahagikan kepada 3 Fasa. Fasa pertama melibatkan penyediaan tapak asas dengan kos keseluruhan sebanyak RM91 juta, termasuk kos pembelian tanah. Fasa kedua, dengan kos sebanyak RM179 juta, melibatkan kerja penggerukan (dredging), pembinaan infrastruktur darat (on-shore), dan pembinaan struktur marin (off-shore).

Manakala, fasa ketiga bertujuan untuk melengkapkan Terminal LMT dengan peralatan khusus untuk pengendalian mineral kargo, serta sistem komunikasi dan kawalan yang lebih efektif, dengan kos sebanyak RM12 juta. Kini, LMT 2 sedang dalam peringkat fasa kedua, yang melibatkan pembinaan infrastruktur darat dan marin, termasuk pembinaan dermaga, jalan raya, dan utiliti. Ia dijangka akan siap pada tahun 2025."

Lumut Port merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan terminal dan kargo pukal yang dimiliki oleh Perak Corporation Berhad (Perak Corp), yang merupakan salah satu anak syarikat di bawah Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).