Ipoh, 11 Januari 2024 – Tasik Cermin Ipoh kini merupakan lokasi pilihan pengunjung yang menggemari keindahan alam semulajadi. Sinergi biodiversiti dan landskap batu kapur menawarkan pengalaman dan daya tarikan air tasik dan suasana yang tenteram. Pembukaan rasmi Tasik Cermin 2 oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Khairul Firdaus bin Akbar Khan dijangka dapat merancakkan promosi Tahun Melawat Perak 2024.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak Holdings Berhad (“MHB”), Tuan Syed Agil Syed Hashim, pusat ekopelancongan Tasik Cermin yang dibangunkan bersama rakan usahasama Sabah Tea Garden (“STG”) akan sentiasa memberikan pengalaman unik kepada pengunjung pada setiap lawatan.

"Sejak pembukaannya, Tasik Cermin secara puratanya menerima kunjungan lebih kurang 45 ribu pengunjung sebulan. Pada bulan Disember 2023 Tasik Cermin telah mencatatkan rekod baru jumlah pengunjung yang mencecah seramai 75 ribu orang. Perkembangan ini menguatkan lagi komitmen kami untuk sentiasa menambahbaik pembangunan di kawasan ini dengan memastikan kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung dari pelbagai lapisan umur".

Ujarnya lagi, Tasik Cermin 2 menawarkan pengalaman menerokai sebuah tasik tersembunyi yang hanya boleh diakses dengan menaiki bot melalui terowong sejauh lebih kurang 130 meter. Bot kuasa bateri sepenuhnya adalah berkonsepkan rendah karbon digunakan untuk memelihara persekitaran yang selari dengan matlamat Kerajaan Negeri Perak dalam meneguhkan agenda kelestarian alam.

Seiring dengan itu, Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Bin Baharin menyatakan keyakinan beliau bahawa gandingan kedua-dua syarikat MHB dan STG dapat menjadikan Tasik Cermin sebagai destinasi must visit di Ipoh.

"Dengan tarikan yang tersedia dan beberapa perancangan pembangunan, aktiviti dan acara yang bakal diwujudkan, saya yakin ia akan dapat melonjakkan industri pelancongan negeri Perak, yang menawarkan produk-produk pelancongan yang bertaraf antarabangsa".

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Khairul Firdaus dalam ucapannya berkata, "Perak mempunyai pelbagai destinasi dan produk yang hebat sehingga turut menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa Saya sangat yakin dengan usaha daripada Kerajaan Negeri Perak dalam merancakkan industri pelancongan negeri melalui perancangan dan strategi pelaksanaan yang tepat dan berkesan."

"Dengan adanya program Tahun Melawat Perak 2024, saya percaya Perak mampu menjadi destinasi yang unggul dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa".

Turut hadir pada majlis tersebut adalah YB Tuan Loh Sze Yee, (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor), Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak (Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak merangkap Pengerusi Kumpulan Majuperak Holdings Berhad), En. Muhammad Aminuddin bin Abdul Majid (Pengarah MOTAC Perak), En. Alvin Wan (Pengarah Tasik Cermin Ipoh Sdn Bhd) dan En. Ng Sp, (Pengarah Tasik Cermin Ipoh Sdn Bhd).