Perak, 8 Januari 2023 – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak ('PKNPk') memeterai Perjanjian Usaha sama dengan Perak Corp, yang juga sebahagian anak syarikat dibawahnya, hari ini.

PKNPk turut mengesahkan cadangan pembangunan Silver Valley Technology Park ('SVTP') di atas sebidang tanah perindustriannya seluas 816 ekar di Kanthan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar ('GDV') sebanyak RM1.03bil; selain bersetuju menggabungkan sumber, kepakaran, kemahiran dan pengetahuan berhubung kerjasama pintar bagi tujuan pembangunan bersama.

Selain itu, Perak Corp juga turut memeterai perjanjian bersama Advancecon Holdings Berhad ('Advancecon') sebagai Pemaju Bersama Pembangunan SVTP.

YBhg Datuk Redza Rafiq Bin Abdul Razak berkata berdasarkan pengalaman terdahulu di dalam perlaksanaan projek Pembangunan berskala besar seperti Bandar Setia Alam, Setia EcoHill, Setia Eco Gardens, Eco Majestic dan Tropicana Aman, Advancecon merupakan rakan pembangunan Perak Corp yang diyakini mampu membawa SVTP ke hadapan.

"Hasil usaha sama rakan pemaju, kami menyasarkan kemasukan pelaburan swasta sebanyak RM14 bilion di mana pelaburan tersebut dapat menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar ('KDNK') negeri Perak." katanya.

SVTP terletak di lokasi strategik di antara taman industri yang telah terbukti seperti Taman Perindustrian Kanthan dan ianya juga terletak berhampiran Bandar Meru Raya yang menjadi kebanggaan PKNPk.

"Kami berbesar hati untuk bekerjasama secara strategik bersama Advancecon untuk pembangunan SVTP bagi merealisasikan agenda Perak Sejahtera 2030, untuk merancakkan ekonomi dan kesejahteraan sosial Perak. Kami menyediakan penawaran nilai sebenar untuk menarik pelaburan sektor swasta sebagai sumber pembangunan berterusan Perak.

Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamed yakin rangka pembangunan SVTP mampu mencapai matlamat Kerajaan Negeri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Perak.

Beliau mengulas "Perak berada di landasan yang tepat dan menampakkan hasil yang positif berdasarkan halatuju yang dilakarkan oleh agenda pembangunan Perak Sejahtera 2030. Penambahan taman perindustrian tercanggih bakal memberikan peluang besar untuk pelaburan langsung (FDI) dan pembangunan domestik serta asing.

Pembangunan SVTP berpotensi mencipta 13,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Perak. Selama ini, kita telah melihat penghijrahan warga Perak ke negeri-negeri lain untuk mencari pekerjaan; dan kini dan kini sudah tiba masanya untuk kita menggalakkan mereka kembali dan menyumbang kepada negeri kita.

Bagaimanapun, salah satu tarikan utama dalam pembangunan bersama ini ialah sinergi antara pemain industri di Perak dan lokasi SVTP itu 3/5 sendiri. Selain terletak di salah satu kawasan perindustrian popular di negara ini, lokasi SVTP adalah kawasan pemain industri yang berkaliber tinggi. Oleh itu, kita mesti memastikan bahawa SVTP mencapai tahap yang paling tinggi. Kita tidak akan berkompromi dengan kualiti, keselamatan, dan semua faktor lain yang membuatkan Perak menarik di mata pelabur." katanya.

YBhg Dato' Phum Ang Kia, Ketua Pegawai Eksekutif Advancecon menjelaskan, "PKNPk dan Perak Corp mengambil langkah berani untuk menjalinkan usaha sama strategik dengan pelabur di dalam usaha melonjakkan Projek SVTP ini.

Kami bangga menjadi pemaju bersama dan memainkan peranan dalam pembangunan SVTP. Taman perindustrian ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri Perak; dan ianya disasarkan akan membawa RM41 bilion dalam sumbangan (KDNK) di samping mewujudkan 13,000 pekerjaan baharu. Lebih ramai pemain industri antarabangsa dan domestik yang beroperasi di sini. Perak akan berkembang sebagai salah satu hab perindustrian di Malaysia.

Advancecon mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam menyediakan perkhidmatan berkaitan pembinaan infrastruktur kepada pemaju hartanah bereputasi tinggi, terlibat dalam perlaksanaan projek infrastruktur utama; dan kami yakin dengan kemampuan yang kami ada dapat memenuhi permintaan projek SVTP.

Malah, kami juga optimis bahawa kerjasama dengan kerajaan negeri Perak ini akan membuka pintu ke pasaran baharu untuk Advancecon selain mempercepatkan pertumbuhan masa depan bagi kumpulan kami."