Pulau Pinang, 03 July 2025 - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) terus memacu pembangunan ekonomi negeri melalui inisiatif infrastruktur kritikal, dalam projek Skim Bekalan Air di Utara Perak dan potensi Jualan Air Terawat Lebihan kepada Pulau Pinang. Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Perak sebagai hab utiliti mampan, malah membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kerjasama antara negeri dan swasta.

PKNPk - Gamuda Berhad (Gamuda) mengadakan kunjung hormat ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yew, di pejabat beliau bagi memulakan rundingan tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, “Secara dasarnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju jualan air terawat ini kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Kunjung hormat yang diadakan oleh PKNPk dan Gamuda pada hari ini setelah mendapat mandat daripada Kerajaan Negeri Perak untuk memulakan rundingan berhubung Projek Air Perak-Pulau Pinang. Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengalu-alukan pertemuan kedua-dua belah pihak dan rundingan seterusnya akan diadakan selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pulau Pinang untuk membuat keputusan bagi pelantikan jawatankuasa rundingan.”

Datuk Redza Rafiq Bin Abdul Razak, Ketua Eksekutif PKNPk menyatakan, “Kunjung hormat ini adalah komitmen PKNPk yang berperanan memacu ekonomi dengan projek-projek berimpak tinggi yang sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030. Terdahulu, PKNPk dan Gamuda Engineering Sdn Bhd telah memeterai kerjasama strategik melalui Binding Joint Venture Term Sheet pada 23 Disember 2024 yang menjadi asas kukuh bagi projek ini. Secara prinsipnya Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Perak pada 19 Februari 2025 telah mengambil maklum dan menyokong skop dan reka bentuk pembangunan infrastruktur air yang dicadangkan untuk mempercepatkan pelaksanaannya. Pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang ini adalah langkah pro aktif dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi bagi kedua-dua negeri”

“Projek ini dapat meningkatkan kapasiti Sungai Perak untuk membekalkan air secara lebih mampan ke Tasik Bukit Merah yang menjadi sumber utama di kawasan perindustrian dan perumahan di Kerian dan Seberang Perai. Ia bukan sahaja semata-mata pembangunan dalam infrastruktur air akan tetapi inisiatif ini bakal menjadi pemangkin pembangunan menyeluruh bagi menangani isu pengairan sektor pertanian sedia ada. Ia juga merangsangkan lagi projek berimpak tinggi bagi pembangunan Taman Industri Teknologi Tinggi seluas 400 hektar yang bakal menjadi hab ekonomi baharu. Dalam jangka masa panjang, pelaburan projek ini bakal menjamin kesinambungan bekalan air bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi yang memberangsangkan, sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat di Utara Perak dan Pulau Pinang.”.

Hadir dalam pertemuan ini adalah Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd, Datuk Azmi Mat Nor, Pengarah, Gamuda Engineering Bhd, Datuk Szeto Wai Loong, SRS Consortium Sdn Bhd, Dato Seri Ooi Eng Hock dan Pengarah Eksekutif Gamuda Engineering Bhd, Encik Faris Yusof. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K. Pathmanathan turut bersama pada sesi kunjung hormat tersebut